Pengarah, pegawai DBKL  diarah isytihar harta

Pengarah, pegawai DBKL diarah isytihar harta

Semua pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk pengarah eksekutif, pengarah jabatan dan semua kakitangannya diarahkan melaksanakan kemas kini data peribadi termasuk mengisytiharkan harta masing-masing, susulan penahanan pegawai kanan DBKL, baru-baru ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dipetik berkata, langkah itu dilakukan bagi menunjukkan kesediaan pihaknya dalam bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi membantu siasatan kes membabitkan pegawai kanan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Menurutnya, pihaknya serius memastikan semua kakitangan DBKL bebas daripada kegiatan salah laku yang membabitkan rasuah dan penggubalan pengubahan wang haram.

“Saya arahkan semua kakitangan yang berpotensi untuk mengemaskini maklumat berkaitan harta mereka. Perkara ini bukan baru, tapi memang dibuat setiap dua tahun sekali,” katanya mengulas kes penahanan reman seorang pegawai kanan DBKL berpangkat Datuk Seri oleh SPRM kerana didakwa terlibat dengan kes rasuah.

SPRM dalam kenyataan terbaru pula mengesahkan sedang melakukan siasatan membabitkan penglibatan pegawai DBKL yang bersekongkol dengan pemaju projek bagi mendapatkan untung atas angin.

Siasatan dijalankan tertumpu di bawah kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

Mhd Amin Nordin berkata, sekiranya siasatan mendapati ada pegawai terlibat kesalahan jenayah itu, tindakan tegas akan diambil.

TAGS