Pengaruh konsep Orang Kesepuluh terhadap keputusan PRU15

Pengaruh konsep Orang Kesepuluh terhadap keputusan PRU15

Tidak dapat dipastikan apa jenis keajaiban yang sedang kita tunggu. Masa hanya semakin suntuk sebelum sebuah lagi pilihan raya umum dipanggil tidak beberapa tahun lagi.

Kita sebelum ini dikhabarkan ada hala tuju yang hendak dicapai, namun tak keterlaluan kalau kita katakan yang ia masih samar-samar di mata rakyat biasa. Tanyalah pada mana-mana orang biasa yang kita temui di keliling kita – apa agaknya yang sedang hendak dicapai negara?

Rancangan peralihan kuasa dari seorang perdana menteri kepada penggantinya juga masih tidak kunjung selesai. Biarpun ada yang mendakwa kalau ia sengaja dijadikan polemik untuk menaikkan sesetengah individu – saya tidak kira ia harus diabaikan. Kalau nak diabaikan, baiklah kita abaikan polemik lain yang tidak membawa untung seperti isu-isu terkait tuntutan bodoh kumpulan-kumpulan pelampau agama dan kaum yang makin hingar.

Ketidaktentuan yang sedang berlaku ini adalah mengelirukan, dan menyesakkan dada. Dalam ketidaktentuan sebegini, musuh tidak perlu berbuat apa-apa – hanya perlu menangguk sahaja.

Hasilnya, kerajaan dilihat lemah dan tiada upaya memerintah. Rakyat hilang keyakinan, dan tidak berahi untuk menzahirkan sokongan. Keajaiban 9 Mei 2018 tidak akan berulang. Euforia yang dahulu seolah tak mahu surut, kini dimomokkan pembangkang sebagai sesalan terbesar rakyat Malaysia.

Kelmarin waktu memandu masuk ke dalam ruang kampus di Tanjung Malim, kenderaan saya ditahan oleh pengawal keselamatan. Sebaik tingkap diturunkan, lelaki separuh abad itu segera mengecam wajah saya.

Walau kenal, kad pelajar saya tetap diperiksa sebagai memenuhi tugasan. Sambil tersenyum memulangkan kad pelajar saya, terbit kata yang hampir lali didengari: “PH dah tak ada orang sokong sekarang. Orang dah tak suka, lupakanlah.” Saya hanya tersenyum dan menekan minyak untuk segera ke kuliah.

Awalnya saya tidak begitu ambil pusing. Seperti dibilang tadi, sudah lali. Namun tidak lama, saya terfikir semula – apakah pada zaman sebelum kejatuhan Umno-BN dahulu, ada orang-orang seperti pengawal keselamatan tadi mengungkapkan perkara yang sama kepada orang-orang, atau pemimpin dari Umno yang mereka temui.

Pernahkah agaknya mana-mana pemimpin dari Umno, melalui pintu gerbang pejabat atau kediaman mereka, hanya untuk disapa dengan “Umno dah tak ada orang sokong sekarang, orang dah tak suka, lupakanlah,” oleh orang-orang yang tidaklah begitu dikenali sangat?

Kadang-kadang bertemu teman-teman yang hari ini bertugas di Putrajaya, tidak dapat tidak, setiap mereka tampak cemas juga. Seolah tidak ada berita baik lagi nak disampaikan. Masing-masing mengadu nasib, malah ada yang dalam diam, mulai mengumpul modal untuk memulakan perniagaan sendiri beberapa tahun lagi. Lebih tepat, selepas PRU15 akan datang. Tiada jaminan kerja lagi kata mereka. Begitu burukkah reputasi kerajaan Pakatan hari ini dalam kalangan rakyat biasa?

Beberapa minggu lalu, Menteri Kesihatan dan Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly mengingatkan kita untuk tidak mewiridkan kerajaan Pakatan sebegai kerajaan sepenggal. Saya setuju, dan saya aminkan apa yang dikatakan beliau.

Saya jelas tidak mahu melihat Umno-BN kembali berkuasa. Ia mimpi ngeri buat Malaysia. Namun mengambil langkah berjaga-jaga serta sentiasa mahu bermuhasabah itu penting.

Belajarlah dari strategi ketenteraan Israel dalam hal ini. Israel, selepas Perang Yom Kippur, atau Perang Ramadan pada 1973, mempelajari sesuatu perkara iaitu tidak boleh lagi bagi mereka mengabaikan mana-mana amaran mahupun kemungkinan walaupun kecil dan tidak siginifikan. Lahirlah konsep Orang Kesepuluh atau The Tenth Man.

Tugasnya ringkas – jika ada mana-mana keputusan strategik terutama berkaitan keselamatan negara yang tercapai sebulat suara antara sepuluh orang – orang yang kesepuluh wajib membantahnya, dan mengerahkan segala kudrat untuk mengkaji apa-apa kebarangkalian lain yang kontradik dengan keputusan yang telah dicapai sembilan yang lain.

Erti kata lain, andai sembilan orang bersetuju Pakatan masih kekal selepas PRU15 – orang yang kesepuluh wajib mengatakan tidak, dan mencari bukti untuk menyokong dakwaan tersebut. Dalam apa-apa senario – kita sudah bersedia untuk kemungkinan lain yang tak diduga.

Saya harap, sedikit sebanyak kita ada melakukan hal yang serupa. Atau mungkin, Dr Dzulkeflylah orang kesepuluh tersebut. Di saat yang lain sedang cemas dengan kemungkinan yang buruk, beliau terpaksa mengatakan yang sebaliknya. Wallahualam.