Pengaruhi PH, kerajaan hapuskan pengenalan tulisan jawi di sekolah vernakular

Pengaruhi PH, kerajaan hapuskan pengenalan tulisan jawi di sekolah vernakular

Parti Gerakan bersyukur dengan bantahan lebih 100 pemimpin akar umbi DAP termasuk yang berjawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap cadangan pengenalan tulisan jawi khususnya di sekolah vernakular.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau berkata, kesemua pemimpin DAP itu dapat menjelaskan lebih lanjut tindakan susulan yang akan diambil jika bantahan mereka gagal.

Ujarnya, sikap parti lawannya itu menunjukkan masih terdapat mereka di dalam DAP yang mempunyai hati nurani.

“Gerakan bersyukur apabila lebih 100 ADUN DAP dan pemimpin akar umbi mereka yang membantah pembelajaran tulisan jawi.

“Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan bahawa mereka (DAP) sudah menjadi parti pemerintah. Tidak boleh lagi melakukan petisyen sepertimana pembangkang.

“Sebaliknya bertindak mempengaruhi Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan untuk menghapuskan idea ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, seramai 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 ADUN membantah rancangan pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi sebagai sebahagian mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat.

3 ADUN yang menandatangani kenyataan bersama itu ialah Chow Yu Hui (Tras), Chiong Yoke Kong (Tanah Rata), Chong Zhe Min (Keranji), Lee Chin Chen (Bilut), Tan Hong Pin (Skudai), Ee Chin Li (Tangkak), Cheo Yee How (Perling), Yeo Tung Siong (Pekan Nenas), Ng Yak Howe (Bentayan), Chew Peck Choo (Yong Peng), Cheah Pou Hian (Jelapang) dan Leong Yu Man (Triang).

Daripada 162 muka surat dalam buku teks Bahasa Melayu bagi tahun depan, enam halaman disediakan khusus untuk “khat”.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan sebelum ini menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah.

Kementerian itu menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan Jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.