Malaysia Dateline

Pengasas FB jatuh satu anak tangga dalam senarai manusia terkaya

Kedudukan pengasas dan Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg jatuh satu anak tangga dalam senarai manusia terkaya di dunia apabila kekayaan peribadinya merosot lebih daripada AS$6 bilion (RM25 bilion) dalam masa hanya beberapa jam.

Keadaan itu berlaku selepas seorang pemberi maklumat tampil ke depan manakala gangguan pula menyebabkan produk utama Facebook Inc tidak dapat berfungsi dalam talian.

Penjualan besar-besaran menyebabkan saham gergasi media sosial itu menjunam 4.9 peratus, menambah kepada penurunan kira-kira 15 peratus sejak pertengahan September, lapor BH memetik Bloomberg.

Hampir enam jam Facebook serta dua aplikasi popular miliknya, WhatsApp dan Instagram tidak dapat diakses dan gagal berfungsi secara tiba-tiba.

Harga saham Facebook yang menjunam itu mengakibatkan kekayaan Zuckerberg jatuh kepada AS$121.6 bilion (RM507.8 bilion), meletakkannya di bawah Bill Gates ke tempat kelima dalam Indeks Bilionaire Bloomberg.

Kekayaan pemegang ijazah kehormat undang-undang dari Universiti Harvard pada 2017 itu susut daripada hampir AS$140 bilion (RM584.7 bilion) hanya dalam masa beberapa minggu, demikian mengikut indeks tersebut.

Pada 13 September lalu, Wall Street Journal mula menerbitkan beberapa siri artikel menurut dokumen dalaman, yang mendedahkan Facebook mengetahui pelbagai masalah dihadapi oleh rangkaian produknya, seperti ancaman Instagram terhadap kesihatan mental remaja perempuan dan maklumat palsu mengenai rusuhan Capitol pada 6 Januari lalu.

Laporan tersebut menarik perhatian pegawai kerajaan dan seorang pemberi maklumat tampil ke depan semalam.

Sebagai tindak balas, Facebook menegaskan bahawa isu yang dihadapi oleh produknya, termasuk polarisasi politik adalah rumit dan bukan disebabkan oleh teknologi semata-mata.

“Saya merasakan ia memberikan ruang kepada orang ramai untuk beranggapan bahawa perlu ada penjelasan teknologi atau teknikal berhubung isu polarisasi politik di Amerika Syarikat (AS),” kata Naib Presiden Hal Ehwal Global Facebook, Nick Clegg kepada CNN, lapor Bloomberg lagi.