Malaysia Dateline

Jufazli Shi Ahmad menyerahkan borang untuk menjadi ahli DAP kepada Ketua Parlimen DAP Lim KIt Siang

Pengasas Gerakan Anak Muda Sabah sertai DAP

Pengasas Gerakan Anak Muda Sabah Jufazli Shi Ahmad yang mahu mencabar Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di kerusi Sungai Sibuga pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kini menyertai DAP.

Beliau mengumumkan menyertai parti pembangkang itu yang dianggapnya “terbaik dan jujur” dalam membantu negara dan negerinya.

Jufazli Shi AhmadPemuda 28 tahun itu berkata ibu bapanya dan Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang menjadi saksi kemasukannya ke dalam parti itu semalam.

Beliau menyifatkan peristiwa itu sebagai sejarah dalam perjuangan baharunya untuk Sabah.

“Saya hormati semua parti pembangkang di Sabah dan saya amat hargai semua tawaran menjadi ahli parti pembangkang lain.

“Tetapi saya perlu memilih parti yang paling terbaik dan jujur selamatkan Sabah dalam Malaysia. Sebab itu, saya memilih DAP,” katanya seperti dipetik FMT.

Beliau bersyukur ia dilakukan pada bulan Ramadan, dan berkata beliau sebagai orang Islam berbangga memilih DAP dalam usaha menewaskan Musa dan BN.

Musa, yang juga pengerusi Umno Sabah, memenangi Sungai Sibuga dengan majoriti 11,569 undi dalam pertandingan 5 penjuru pada pilihan raya 2013. Beliau tidak pernah tewas di kerusi itu sejak mula bertanding di situ pada 1999.

Jufazli mengumumkan hasrat bertanding di situ pada Disember tahun lalu.

Jufazli berkata beliau melepaskan tugasnya sebagai seorang pensyarah di universiti swasta untuk menumpukan kepada perjuangan demi Sabah yang lebih baik, dan akan berpangkalan di Sandakan, di mana letaknya Dun itu, sehingga pilihan raya.

Pada 9 November tahun lalu, beliau ditahan di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur susulan kritikannya terhadap kerajaan Sabah, yang antara lain menyentuh isu rasuah RM114.5 juta yang membabitkan seorang pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah.

Jufazli disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar, dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Beliau ditahan sehingga 15 November.

Jufazli bagaimanapun berkata beliau tidak didakwa walaupun ditahan di balai polis Jinjang, Kuala Lumpur dan Tawau, Sabah.

Pada 26 Mei lalu, Jufazli berkata beliau menerima panggilan dari polis mengenai kes terbaharu terhadapnya, dan dijadualkan bertemu seorang pegawai di Kota Kinabalu Rabu ini.