Malaysia Dateline

Pengasas Hong Leong bilionair paling kaya Malaysia

Pengasas bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan yang mempunyai nilai bersih AS$9.7 bilion (RM40 bilion) kini adalah bilionair terkaya di Malaysia.

Dia mewarisi sebahagian kekayaannya dari ayahnya, salah satu daripada tiga saudara lelaki yang memulakan kumpulan perbankan pada tahun 1920-an.

Sepupunya, Kwek Leng Beng, juga seorang jutawan dan mempengerusikan Hong Leong Group di Singapura.

Tempat kedua bilionair mengikut Forbes ke-35 disandang oleh T Ananda Krishnan (AS$5.7 bilion) diikuti pengasas Public Bank Bhd, Tan Sri Teh Hong Piow (AS$5.5 bilion).

Ananda Krishnan, 83, yang merupakan lulusan Harvard Business School mempunyai pegangan saham antaranya dalam syarikat telekomunikasi Maxis dan Astro Malaysia Holdings.

Sementara itu, Hong Piow, 91, yang mendirikan Public Bank sejak tahun 1966 masih memiliki kepentingan besar di bank itu walaupun secara rasmi bersara sebagai ketua bukan eksekutif pada 1 Januari 2019.

Turut disenaraikan adalah bilionair sarung tangan iaitu Pengerusi Hartalega Holdings Bhd, Kuan Kam Hon (AS$3.6 bilion) dan keluarganya serta pengasas Top Glove Corp Bhd, Tan Sri Dr Lim Wee Chai (AS$3.3 bilion).

Ibu bapa Wee Chai adalah pemilik dan peniaga ladang getah. Wee Chai yang memulakan Top Glove dengan isterinya pada 1991 juga memegang 25 peratus kepentingan dalam pemaju hartanah Tropicana.

Pada masa ini, Top Glove menguasai 26 peratus pasaran dunia untuk sarung tangan getah dihasilkan daripada 47 kilang dengan kapasiti tahunan 93 bilion sarung tangan.

Forbes juga menyenaraikan bilionair lain termasuk Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Kok Thay (AS$2.8 bilion) dan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (AS$1.2 bilion).

Hartawan Bumiputera itu bermula sebagai peniaga beras setelah berhenti sekolah menengah.
Sebilangan besar kekayaannya berasal dari saham konglomerat tersenarai MMC Corp. dan DRB-HICOM.

Sebanyak 2,755 individu terpampang dalam senarai bilionair Forbes ke-35 termasuk 493 pendatang baharu ketika dunia dicengkam cabaran ekonomi bahana pandemik Covid-19.

Keluarga yang memiliki rangkaian runcit pembaikan rumah, MR DIY Group (M) Bhd antara nama baru yang disenaraikan dalam bilionair Forbes tahun ini.

Pengasasnya, Tan Yu Yeh dan adiknya, Tan Yu Wei kini mempunyai 684 kedai di Malaysia dan empat kedai di Brunei.

Nilai kekayaan bersih Yu Yeh dianggarkan kira-kira AS$1.8 bilion (RM7.4 bilion) manakala Yu Wei pula dianggarkan AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).

Adik-beradik itu menyertai Pengerusi Eksekutif Westports Holdings Bhd, Tan Sri G Gnanalingam, 76, dan pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Greatech Technology Bhd, Tan Eng Kee, 51.

Senarai bilionair Forbes ke-35 menganggarkan nilai kekayaan bersih Gnanalingam kira-kira AS$1.7 bilion (RM7 bilion), manakala Eng Kee, yang mengasaskan syarikat pengeluar peralatan automasi kilang di Pulau Pinang mempunyai kekayaan bersih AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).

Westports adalah salah satu daripada tiga pengendali pelabuhan utama di Selat Melaka yang mengendalikan kargo kontena dan penghantaran. Anaknya, Ruben Emir Gnanalingam, adalah pengarah urusan Westports.

Sementara itu, Eng Kee menubuhkan syarikatnya pada 1997 dengan rakan sekolahnya, Khor Lean Heng, yang merupakan Ketua Pegawai Operasi (COO) syarikat.

Pelanggan Greatech termasuk pembuat kenderaan elektrik, pengeluar tenaga suria dan syarikat semikonduktor.