Malaysia Dateline

Pengasas produk kaya-raya, tapi ejen setakat tu je lah, lelaki ini dedah bagaimana ‘founder’ boleh jadi jutawan tapi ramai pula bangkang

Seorang TikTokers mendedahkan ‘formula’ bagaimana pengasas produk boleh jadi kaya-raya tidak seperti ejen atau stokis yang begitu-begitu sahaja.

Menerusi @papaberry, lelaki itu menegaskan bahawa pelanggan nombor satu bagi pengasas produk itu adalah barisan ejen atau stokis mereka sendiri.

Menurutnya, sistem kuantiti pesanan minimum (MOQ) yang dikenakan terhadap ejen atau stokis sekaligus menjadi sumber pendapatan tetap bagi pihak pengasas produk.

“Sebabnya, ejen atau stokis ini wajib beli produk dari pengasas mengikut minimum order quantity (MOQ).

“MOQ ini ada yang bernilai ribuan ringgit, belasan bahkan puluhan ribu ringgit. Setiap bulan kena beli sebanyak itu.

“Kalau tidak, kelayakan ejen atau stokis akan dibatalkan. Soal jual ke tak dapat jual ke, itu belakang cerita. Yang penting MOQ mesti ditepati,” jelasnya.

Pemilik akaun media sosial, Papa Berry Studios berkenaan bagaimanapun mengakui bukan semua pengasas produk memperoleh pendapatan dengan cara itu.

“Bayangkan kalau satu ejen diwajibkan beli produk sebanyak RM5,000, kalau pengasas itu ada 20 ejen di seluruh Malaysia, situ saja sudah dapat RM100,000 sebulan.

“Memang tidak semua begini tapi secara asasnya lebih kurang saja kisah mereka sebenarnya,” kata Papa Berry lagi.

Walau bagaimanapun, sebahagian komentar dipercayai golongan peniaga atau stokis produk tertentu berpendapat sebaliknya.

Bagi Ermawati Tahir, tiada masalah sebenarnya untuk restock MOQ bahkan boleh empat kali sebulan sekiranya menjalankan bisnes dengan cukup ilmu, maklumat dan circle yang tepat.

“Sebab itu, kalau nak berniaga kena ada ilmu, jangan malas. Tanpa ilmu kita cuma bazir modal. Bukti saya dulu bermula dengan dropship.

“Alhamdulillah, lepas masuk lima tahun konsisten buat bisnes yang sama, saya upgrade sampai ada team sendiri.

“Selain ilmu, kena trust the process juga kalau nak dapat hasil yang seperti diharapkan,” jelasnya.

Hal sama juga ditekankan oleh Siti Maisarah yang berpendapat mampu atau tidak untuk menjual sesuatu produk itu bergantung pada diri sendiri.

“Tiada paksaan nak jual produk tersebut. Kalau rasa tak mampu nak jual, jangan ambil risiko untuk jual. Itu saja. Janji seseorang itu usaha untuk dapatkan rezeki yang halal,” ujarnya lagi.

Baca juga Tiada niat tutup periuk nasi orang, doktor senaraikan bisnes sihat dan tidak jual produk ‘overclaim’

Baca juga Satu per tiga rakyat Malaysia mahu cari kerja lain untuk dapat gaji lebih tinggi, majoriti mahu kerja hibrid