Malaysia Dateline

Pengasas Sugarbook anggap aplikasi perkasa wanita bukan promosi pelacuran

Selepas tular dua paparan visual iklan LED Sugarbook di Bangsar dan Bukit Kiara, pengasas aplikasi mencari pasangan atas talian itu, Darren Chan hari ini tampil mengeluarkan kenyataan.

Menurutnya, Sugarbook tidak wajar diharamkan oleh kerajaan kerana bukan mempromosi aktiviti pelacuran sebaliknya sebagai platform seluas-luasnya kepada kaum wanita memilih pasangan hidup tanpa sebarang halangan.

Darren yang juga rakyat Malaysia berkata, inisiatif memperkasakan wanita adalah mencakupi usaha menggalakkan wanita meningkatkan keupayaan mereka memilih pasangan hidup dengan bebas.

“Kata kunci di sini adalah ‘pilihan’ dan Sugarbook adalah merangkumi usaha menyediakan pilihan tepat kepada pelanggannya.

“Terma ‘sugar babies’ diguna pakai kepada wanita-wanita mencari pasangan dan tidak sama sekali merujuk kepada pekerja seks secara haram.

“Mereka tidak memperdagangkan tubuh mereka untuk harta benda dan kebanyakan mereka terdiri orang biasa yang berstatus janda, suri rumah dan baru bercerai,” jelasnya dalam satu kenyataan di laman Facebook peribadinya hari ini.

Darren Chan

Bagaimanapun, ruangan komentar bagi hantaran itu telah dimatikan fungsinya. Dalam tempoh enam jam selepas dimuatnaik, kenyataan Darren menerima sebanyak 226 reaksi dengan 61 peratus daripadanya menanda ‘marah’. Hanya 13 peratus reaksi suka dan sangat suka kepada hantaran itu.

Mengulas lanjut, dia menyatakan pihaknya bimbang bantahan akan menafikan hak kebebasan dan kesaksamaan rakyat negara ini.

Sugarbook ialah aplikasi yang diasaskan di Malaysia dan didakwa boleh menghubungkan ‘sugar daddy’ atau ‘sugar mommy’ dengan ‘sugar baby’ dari negara ini dan seluruh Asia.

Panggilan ‘sugar daddy’ atau ‘sugar mommy’ merujuk kepada lelaki atau wanita berusia lagi berharta yang sanggup menawarkan wang, hadiah atau habuan lain kepada temannya yang lebih muda iaitu ‘sugar baby‘ sebagai pertukaran kepada jalinan hubungan.

Dalam hal berkaitan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kelmarin telah mengarahkan paparan visual iklan luar LED Sugarbook di Bangsar dan Bukit Kiara dihentikan dan diturunkan.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL dalam satu kenyataan hari ini memberitahu paparan iklan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Jelasnya, pihak operator telah dimaklumkan kandungan iklan itu bersifat sensitif dan melanggar norma masyarakat Malaysia serta perlu ditarik segera.

“Semalam DBKL telah menerima aduan yang ditularkan di media sosial berkenaan paparan iklan LED berkenaan yang sensitif dan berunsur lucah.

“Hasil siasatan DBKL mendapati pelesen struktur iklan merupakan milik YWP yang telah melantik Out of Home sebagai operator,” memetik kenyataan hari ini.