Malaysia Dateline

Pengasih terima kunjungan delegasi Prince Charles Foundation & Yayasan Raja Muda Selangor

Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) hari ini menerima kunjungan daripada delegasi Prince Trust (Prince Charles Foundation) dan delegasi Yayasan Raja Muda Selangor.

Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Ramli Abdul Samad berkata, kunjungan tersebut untuk mengukuhkan kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO) Pengasih dan Prince Trust.

Katanya, ia sekali gus berpeluang mengetahui kaedah untuk menangani masalah belia terutama dalam memulihkan bekas penagih.

“Kami bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Raja Muda Selangor kerana membawa rombongan dari Prince Trust’s.

“Melalui kunjungan itu, kami seterusnya dapat melakukan kerjasama dengan pihak Prince Trust’s dan melihat kehadapan supaya dapat belajar dari United Kingdom, bagaimana mereka menangani masalah ini terutama dari perspektif NGO,” katanya selepas mesyuarat bersama delegasi, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya memerlukan dana dan sumbangan orang ramai untuk memindahkan pusat rawatan dan pemulihan di Jalan Syers Bukit Tunku, Kuala Lumpur ke Cinta Manis Bentung yang dijangka dipindahkan pada tahun 2020.

Ini kerana katanya, Khazanah Nasional Berhad yang memiliki sebahagian dari tanah yang digunakan telah menuntut untuk dikembalikan sebelum ini.

Katanya, Khazanah yang mencadangkan skim land swap telah menggantikan tempat baru di Cinta Manis yang berkeluasan 14 ekar dengan peruntukan 6 juta.

“RM2 juta dah digunakan untuk membeli tanah baru, jadi hanya RM4 juta sahaja dapat digunakan untuk membangunkan satu kompleks rawatan pemulihan.

“Kami memerlukan sebuah masjid yang mampu memuatkan 300 hingga 500 orang dalam satu masa, dewan serbaguna untuk aktiviti harian, klinik, dan kelengkapan termasuk perabot.

“Secara keseluruhan, kami memerlukan sebanyak RM8 juta untuk membina satu kompleks lengkap yang memuatkan 250 pesakit berbanding hanya 100 di sini. Kami menyeru syarikat-syarikat dan individu untuk menyalurkan sumbangan untuk proses pembangunan tempat baharu ini yang dijangka dipindahkan pada tahun 2020,”ujarnya.

Sebarang bantuan boleh di hulurkan ke Akaun Maybank Persatuan Pengasih Malaysia 014075323275.