Pengawal peribadi terpaksa ditidurkan, kritikal lepas kena satu das tembakan di KLIA

Oleh WAN SITI AMINAH

“Ada individu melepaskan tembakan kepada pengawal peribadi saya. Allahu Akbar!”, berikut hantaran yang kini menjadi topik perbincangan paling hangat di media sosial.

Hantaran itu dimuat naik oleh wanita dikenali sebagai Farah Cie di laman Facebook selepas pengawal terbabit ditembak di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA), awal pagi tadi.

Mengundang pelbagai tanda tanya, suspek yang melepaskan dua das tembakan itu rupanya bukanlah orang asing sebaliknya suami kepada pemilik akaun Facebook berkenaan iaitu Farah Cie atau nama sebenarnya, Farah Md Isa.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, suspek iaitu Hafizul Zarawi yang sedang menjadi buruan pihak polis itu didapati memiliki tiga rekod jenayah lampau, lapor Harian Metro.

Dua daripadanya berkaitan dengan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah manakala satu lagi kes di bawah Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.

Jelas Mohd Shuhaily, dua laporan di bawah Seksyen 506 itu dibuat oleh isteri suspek sendiri pada 2016 dan Disember tahun lalu sebelum akhirnya membuat keputusan untuk menggaji pengawal peribadi.

Suspek sebelum ini pernah ditangkap selepas laporan dilakukan oleh Farah malah kertas siasatan juga telah dilengkapkan pihak polis sebelum dihantar dan menunggu arahan berhubung tindakan selanjutnya.

Dalam perkembangan terbaharu, Mohd Shuhaily memberitahu bahawa mangsa iaitu pengawal peribadi terbabit berada dalam keadaan kritikal selepas terkena satu das tembakan pada jarak dekat sekitar tiga ke empat meter.

“Saya dimaklumkan mangsa di ‘induced coma‘ (ditidurkan) sejurus keadaan kembali stabil dan pembedahan selanjutnya akan dijalankan ke atas pengawal peribadi itu.

“Suspek berkenaan tiada permit senjata api dan kita percaya dia memperoleh pistol berkenaan secara haram,” katanya pada sidang media memetik laporan Harian Metro.

Mohd Shuhaily juga berpendapat bahawa orang ramai tidak perlulah merasa khuatir kerana pihaknya turut memberikan jaminan keselamatan berikutan insiden tembakan pengawal itu bersifat peribadi.

Setiap kontinjen polis negeri juga sudah digerakkan bagi mengesan suspek berusia 38 tahun tersebut termasuklah di lokasi yang bersempadan dengan negara jiran.

Terdahulu, tular satu video di laman TikTok yang dipercayai dirakam setelah kejadian tembakan tersebut berlaku di tingkat 3, balai ketibaan KLIA Terminal 1, kira-kira pada pukul 1.15 pagi tadi.

@zakwanyaakub

Mohon hati hati . Ada kejadian tembak menembak di klia sekarang 1.30am… sapa yang ada kat sana atau otw ke sana mohon hati hati #klia #tembak #tembakmenembak #klia1

♬ original sound – Zakwanyaakub – Zakwanyaakub

Baca juga: Bagi RM1k pendahuluan, Zamsaham terkejut pemain bola tolak, mahukan gaji 3 bulan tertunggak