Pengecaman mayat Syed Alman dilakukan isteri, rakan karib, kata saksi

Pengecaman mayat Syed Alman dilakukan isteri, rakan karib, kata saksi

Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa pengecaman mayat Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi yang meninggal dunia pada 1 Jun 2016, ketika menerima rawatan gigi, dilakukan oleh isterinya iaitu Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Pegawai Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Brickfield ASP Ezral Ezwani Abdul Mali berkata pengecaman itu dilakukan di Bilik Mayat Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Selain isteri mangsa, pengecaman mayat juga dilakukan oleh rakan karib mangsa iaitu Datuk Faizal,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria.

Saksi keenam pendakwaan itu berkata demikian pada perbicaraan hari kedua kes seorang doktor perbidanan dan sakit puan (O&G) Dr Ting Teck Chin, yang didakwa menyebabkan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semasa mendapatkan rawatan gigi.

“Selepas selesai proses pengecaman, saya telah memaklumkan perkara itu (kes kematian mengejut) kepada ketua polis daerah dan buka siasatan untuk jalankan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya yang ketika kejadian bertugas sebagai ketua polis Balai Polis Pantai.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa doktor pakar forensik yang menjalankan bedah siasat tidak menyatakan punca kematian mangsa.

Ezral Ezwani berkata pada 3 Jun 2016, beliau menerima tiga spesimen mengandungi dua sampel air kencing dan satu sampel darah milik mangsa daripada PPUM yang kemudiannya dibawa ke Balai Polis Travers.

Beliau juga memaklumkan bahawa kes kematian mengejut itu kemudiannya telah disiasat di bawah kes jenayah dan Pegawai Penyiasat ASP Yusmazatu Yahya Yusof dipertanggungjawab mengendalikan kes berkenaaan.