Malaysia Dateline

Pengecualian dua kuil patuhi SOP PKPB dipersoal

Ahli Dewan Negeri Selangor (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George mempersoal pengecualian untuk dua kuil beroperasi bermula 17 hingga 27 Oktober yang menimbulkan kekeliruan masyarakat penganut Hindu.

Ketua Cabang PKR Kota Raja berkata, surat pengecualian daripada Pejabat Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara kepada dua kuil itu sempena Perayaan Sembilan Malam sepanjang tempoh itu.

“Surat tersebut dengan jelas menyatakan dua buah kuil di Kuala Lumpur dibenarkan seramai 20 orang kehadiran mankala sebuah kuil di Selangor hanya dibenarkan untuk enam orang kehadiran.

“Adakah perkara ini dalam pengetahuan Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob selaku Menteri Kanan Keselamatan?

“Jika benar, mengapa terdapat double standard dalam pelaksanaan SOP PKPB terhadap rumah ibadat?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Gunaraj berpendapat pengecualian tersebut menyebabkan pihak rumah ibadat yang lain keliru dan tidak puas hati.

“Kerajaan Persekutuan wajar memandang serius perkara ini oleh kerana kes harian Covid-19 dicatatkan meningkat saban hari dan amat membimbangkan.

“Seharusnya, satu garis panduan SOP yang lebih ketat dan saksama diguna pakai untuk semua rumah ibadat tanpa pengecualian,” tegasnya lagi.