Malaysia Dateline

Pengecualian faedah moratorium, kemenangan untuk rakyat

Majlis Presiden Pakatan Harapan menyambut baik persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada tuntutan Pakatan Harapan bahawa bayaran faedah bagi moratorium pinjaman bank kepada kumpulan lima puluh peratus terbawah (B50) untuk tempoh tiga bulan akan dikecualikan.

PH berpendapat bahawa pengecualian kepada seluruh rakyat Malaysia itu merupakan satu kemenangan buat rakyat.

PH menjelaskan, untuk memastikan dasar tersebut dapat dilaksana, pimpinan utama gabungan itu telah mengadakan siri pertemuan bukan sahaja bersama Menteri Kewangan malah juga dengan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif bank-bank komersil.

“Walaupun pada mulanya terdapat kebimbangan di pihak bank-bank, namun setelah siri libat urus itu berjalan dan pandangan pimpinan PH disampaikan dengan jelas, Perdana Menteri telah bersetuju dengan pendirian kami dan akhirnya dasar ini dapat dilaksana.

“Pelaksanaan Perkara 1.7 MOU ini merupakan satu kemenangan untuk rakyat.

“PH akan terus memainkan peranan semak imbang serta tegas dalam membawa suara isi hati rakyat di dalam dan luar Parlimen demi menangani wabak Covid-19, mengatasi krisis ekonomi serta menyelamatkan nyawa dan mata pencarian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; AMANAH, Mohamad Sabu; DAP Lim Guan Eng; Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.

Sementara itu, PH menyatakan rasa kesal kerana Ismail seolah-olah tidak mengiktiraf bahawa dasar tersebut adalah salah satu perkara yang terkandung di dalam perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama pimpinan utama Pakatan Harapan pada 13 September lalu.

Malah dakwa PH, Ismail menggambarkan ia seolah-olah sebagai idea kerajaan, walhal ia adalah pendirian konsisten PH yang dilaksana dalam semangat menunaikan perkara-perkara yang terkandung di dalam MoU.

“Tanpa pengiktirafan peranan MoU ini, ia mampu menjejaskan keyakinan kami terhadap keikhlasan pihak kerajaan untuk berpegang kepada semangat MoU ini.

“Ia turut bercanggah dengan konsep “Keluarga Malaysia” yang berasaskan fakta dan data agar segala perancangan dapat diusahakan bersama dengan perpaduan rakyat.

“Penting dijelaskan bahawa pada awalnya pihak kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan Pakatan Harapan untuk memberi pengecualian bayaran faedah kepada peminjam dari kelompok B50 ini,” katanya lagi.