Malaysia Dateline

Pengedaran komik propaganda harus disekat, kata Pemuda AMANAH Pulau Pinang

Pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama yang hangat diperkatakan tatkala ini seharusnya disekat tanpa apa jua alasan yang diberikan.

Malah keputusan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mempertahankan kementeriannya dengan tidak membenarkan pengedaran komik tersebut seharusnya diberi sokongan.

Demikian dinyatakan oleh Naib Ketua Pemuda AMANAH Negeri Pulau Pinang, Mohd Farid Ismail ketika diminta mengulas mengenai pengedaran komik tersebut.

“Negara ini mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi dan dihormati.

“Sekaligus ia merangkumi semua bahan bercetak, termasuk buku atau komik yang berunsurkan politik dan propaganda di semua sekolah.

“Semua pihak harus menurut peraturan yang telah ditetapkan, apatah lagi perkara ini dilihat seolah-olah adanya unsur-unsur propagnda oleh sesetengah pihak yang cuba melemahkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan(PH), ” jelasnya.

Menurut Mohd Farid lagi, semua bahan bercetak tertakluk pada undang-undang percetakan (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984).

Maka itu ujarnya, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam menjaga institusi dan kehormatan negara yang berdaulat ini.

“Adalah diharapkan sekolah tidak dijadikan tempat untuk mana-mana parti politik atau pun individu menerapkan politik sempit dan penghinaan kepada individu, kumpulan atau kaum tertentu.

“Seandainya timbul beberapa isu yang cuba dimainkan oleh sesetengah pihak maupun dalam PH sendiri membabitkan isu komik tersebut, pimpinan tertinggi PH wajib tegas bagi menyelesaikan kecelaruan tersebut tanpa lengah.

“Ianya perlu diselesaikan dengan secepat mungkin bagi memastikan tiada pihak yang cuba menangguk di air keruh dalam usaha mereka melemahkan pentadbiran kerajaan PH, ” tambah beliau.

Ia yang juga merupakan Ketua Pemuda AMANAH kawasan Permatang Pauh turut mengingatkan kerajaan negeri Pulau Pinang supaya lebih peka terhadap isu membabitkan sensitiviti masyarakat supaya tidak terpalit dengan isu yang mampu mencemarkan kredibiliti kerajaan negeri.