Pengeluaraan dari akaun Persaraan KWSP untuk tujuan haji tidak dibenarkan

Oleh MALAYSIADATELINE

Pencarum tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang pengeluaran daripada Akaun Persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuklah bagi tujuan mengerjakan ibadah haji.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, langkah itu diambil kerajaan bagi memastikan semua ahli memiliki Simpanan Asas sekurang-kurangnya sebanyak RM240,000 untuk kelangsungan hidup ketika persaraan.

Walau bagaimanapun, pengeluaran boleh dibuat melalui Akaun Sejahtera khusus untuk pencarum yang terpilih untuk mengerjakan haji oleh pihak Lembaga Tabung Haji (TH), lapor Berita Harian.

Malah sejak diperkenalkan pada tahun 2013 lalu, sebanyak 6,070 permohonan pengeluaran daripada akaun tersebut untuk kegunaan mengerjakan haji telah diluluskan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM16.7 juta.

“KWSP adalah sebuah institusi keselamatan sosial yang diberi mandat oleh kerajaan untuk membantu ahli menyediakan simpanan persaraan demi keperluan dan kesejahteraan hidup pada hari tua.

“Pengeluaran haji bagaimanapun boleh dilakukan melalui Akaun Sejahtera yang mula diperkenalkan sejak 2013 bagi ahli beragama Islam di bawah usia 55 tahun dan terpilih untuk mengerjakan ibadah haji oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

“Sejak diperkenalkan, sebanyak 6,070 permohonan pengeluaran haji daripada Akaun Sejahtera diluluskan dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM16.7 juta, bersamaan purata RM2,759 bagi setiap permohonan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Hui Ying berkata demikian di Dewan Rakyat, hari ini untuk menjawab soalan Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abdul Ghani Ahmad jika kerajaan bercadang untuk mengubah dasar mengenai pengeluaran Akaun Satu (Persaraan) bagi tujuan mengerjakan haji.

Soalan ini membabitkan pekerja yang belum mencapai usia persaraan sama ada mereka dibenar mengeluarkan simpanan dari Akaun Satu (Persaraan) sekiranya terpilih untuk mengerjakan ibadah haji dan jumlah ahli KWSP yang dibenarkan membuat pengeluaran dari Akaun Dua (Sejahtera) atau Ketiga (Fleksibel).

Dalam pada itu, Hui Ying turut menjelaskan bahawa Akaun Persaraan yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1 itu sememangnya bertujuan untuk menjadi simpanan persaraan membabitkan 75 peratus daripada keseluruhan caruman.

“Walaupun begitu, ahli turut dibenarkan untuk membuat pengeluaran bagi tujuan lain seperti perumahan, insurans hayat, penyakit kritikal, pendidikan, kesihatan (penyakit kritikal dan kesuburan), serta pengeluaran pada usia 50 tahun melalui Akaun Sejahtera.

“Akaun Fleksibel turut diwujudkan bagi membenarkan ahli membuat pengeluaran bagi apa-apa tujuan pada bila-bila masa.” Ujar Hui Ying yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanjong itu ketika menjawab soalan daripada wakil rakyat Perikatan Nasional.

Baca juga: Individu berusia 100 tahun ke atas diminta segera keluarkan KWSP sebelum Mac 2025