Malaysia Dateline

Pengeluaran Akaun 1 KWSP sebanyak RM500

Kerajaan bersetuju meluluskan pengeluaran akaun Satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan, sekaligus tiada pengeluaran sebanyak RM10,000 yang diharapkan rakyat Malaysia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pengeluaran secara bersasar itu akan melibatkan pengeluaran jumlah sehingga RM6,000 setahun.

Beliau juga berkata, pengeluaran ini bagi membantu ahli KWSP yang kehilangan pekerjaan dan dijangka akan meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli terjejas.

“Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari dan kemudahan akaun 1 ini, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000.

“Diunjurkan keseluruhan pembayaran Akaun Satu melibatkan RM4 bilion dan ahli yang layak boleh memohon mulai Januari nanti,” katanya semasa pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun Dua i-Lestari KWSP sebanyak RM500 pada April lalu yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 KWSP selama 12 bulan.

Sementara itu, Zafrul memaklumkan, kementerian juga meluluskan inisiatif agar kadar caruman minima KWSP pekerja dikurangkan dari 11 peratus kepada 9 peratus bermula Januari 2021.

Terdahulu, Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mencadangkan KWSP agar membenarkan pencarum untuk mengeluarkan maksimum RM 10,000 bagi mengharungi cabaran kehidupan yang wujud berikutan impak penularan wabak Covid-19.