Seramai 2.93 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah melakukan pengeluaran membabitkan jumlah RM6.98 bilion daripada Akaun Fleksibel mereka.
Dengan nilai purata pengeluaran mencatatkan jumlah RM2,382, caruman sebanyak RM4.82 bilion bagaimanapun dipindah oleh ahli sendiri ke dalam Akaun Persaraan.
Inisiatif penstrukturan semula akaun ini sekali gus menunjukkan impak positif dengan peningkatan 39,000 ahli berjaya mencapai jumlah simpanan asas iaitu RM240,000.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, seramai 3.45 juta ahli memilih untuk memiliki amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel setakat 10 Jun lalu.
Jelasnya, keputusan ahli KWSP ini membabitkan jumlah perpindahan RM10.86 bilion dari Akaun Sejahtera yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 2, lapor Berita Harian.
“Tujuan utama Penstrukturan Semula Akaun KWSP dibuat adalah untuk memastikan kesejahteraan kewangan semasa persaraan yang lebih mapan, selain mengimbangi keperluan semasa ahli.
“Inisiatif ini juga dapat membantu meningkatkan simpanan persaraan ahli supaya mereka memiliki pendapatan persaraan mencukupi untuk membiayai kehidupan persaraan kelak,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memetik Berita Harian.
Beliau menjawab sedemikian untuk soalan mengenai pemindahan caruman ke Akaun Fleksibel serta strategi pelaburan jangka panjang dibangkitkan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan).
Mengulas mengenai usaha untuk mengekalkan kestabilan caruman persaraan ahli, Hamzah berkata bahawa Akaun Persaraan telah diperkasakan untuk membantu meningkatkan simpanan.
Kadar nisbah pengkreditan baharu melibatkan caruman ahli adalah 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan, diikuti Akaun Sejahtera (15 peratus) dan Akaun Fleksibel (10 peratus).
Perkara ini bermakna kadar nisbah caruman ke dalam Akaun Persaraan yang sebelum ini berjumlah 70 peratus telah dinaikkan sebanyak lima peratus semenjak 11 Mei lalu.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan untuk membantu rakyat menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan demografi penduduk serta keperluan kitaran hayat ahli KWSP.
Tambah Amir Hamzah, pelaburan juga dilakukan berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) bagi memastikan KWSP mencapai objektif menerusi strategi jangka panjang.
Mengambil kira had toleransi risiko KWSP sebagai dana simpanan persaraan, strategi itu memperuntukkan aset secara optimal dengan baki tunai pelaburan pada julat dua hingga enam peratus.
“SAA ini dikaji semula secara berkala bagi memastikan jangkaan pulangan dan risiko adalah relevan dengan keadaan pasaran modal semasa serta sebarang perubahan polisi, regulatori, perakaunan dan profil aset-liabiliti KWSP.
“Antara pertimbangan akan dikaji adalah profil kecairan portfolio pelaburan serta peruntukan kepada baki tunai bagi mengambil kira impak daripada penstrukturan semula akaun KWSP.” Ulasnya.
Baca juga: Peniaga kantoi ‘kelentong’ pelanggan, rupanya bank tak pernah kenakan caj 10 sen jika bayar guna QR