Pengeluaran tentera AS dari Syria perlu perancangan teratur

Pengeluaran tentera AS dari Syria perlu perancangan teratur
Recep Tayyib Erdogan

Presiden Turki Recep Tayyib Erdogan sebelum ini memuji keputusan Donald Trump untuk mengeluarkan tentera Amerika Syarikat (AS) dari Syria. Walaubagaimanapun, beliau berkata usaha pengeluaran askar AS itu seharusnya menerusi perancangan teratur dan bersama “rakan yang betul”, lapor al Jazeera.

Di dalam penulisan di The New York Times, sehari sebelum perbincangan di antara wakil rasmi Turki bersama Penasihat Keselamatan Negara AS, John Bolton, Erdogan telah menyatakan komitmen Turki untuk menghapuskan kumpulan Islamic State of Iraq and the Levant (ISIL, turut dikenali sebagai ISIS) and “kumpulan terroris lain” di Syria.

Jelas Erdogan, “Presiden Trump membuat keputusan yang betul untuk mengeluarkan tentera AS dari Syria. Walaubagaimanapun, usaha pengeluaran askar AS seharusnya menerusi perancangan teratur dan bersama rakan yang betul demi melindungi hak AS, komuniti antarabangsa dan rakyat Syria,”.

“Turki yang mempunyai kekuatan ketenteraan kedua terbesar di NATO merupakan negara utama yang mempunyai keupayaan dan komitmen untuk melakukannya (rakan yang betul),” tambah Erdogan.

Sebelum ini pada 19 Disember 2018, Trump membuat keputusan mengejut untuk mengeluarkan kira-kira 2,000 tentera AS di Syria dan mengesahkan ISIL telah berjaya ditewaskan.

Keputusan mengejut itu telah meninggalkan pelbagai persoalan terutama bagi negara-negara sekutu seperti Perancis dan Britain yang mengatakan bahawa ISIL masih belum lagi berjaya dihapuskan.

Walaubagaimanapun, mutakhir ini wakil rasmi pentadbiran Trump mengatakan bahawa pengeluaran tentera AS dari Syria tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Malah, Trump baru-baru ini turut menyatakan pandangan sebaliknya dan mengatakan bahawa usaha menangani ISIL masih belum berakhir dan usaha pengeluaran askar AS dari Syria akan dilakukan secara rapi.

Loading...

Jelas Trump melalui Twitter miliknya, “Kami (AS) akan meninggalkan tempat berkenaan (Syria) dalam jangka masa yang sesuai dan pada masa yang sama akan terus memerangi ISIS dan apa saja usaha yang perlu akan dilakukan secara rapi dan teratur,”.