Siapa sangka, seorang lelaki berjaya menjana pendapatan yang lumayan sehingga mampu membeli sebuah kenderaan jenis Proton X70 dengan hasil mengemis.
Malah, lelaki yang memiliki sepasang tangan lebih kecil dari manusia normal itu turut menerima elaun sejumlah RM450 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kegiatan peminta sedekah tersebut akhirnya terbongkar selepas penguat kuasa JKM Maran menjalankan operasi membanteras aktiviti pengemis di sebuah pasar malam.
Ketika operasi dijalankan, lelaki Melayu yang memakai jubah dan kopiah itu terlihat ‘tekun’ meminta simpati para pengunjung di pasar malam Sri Jaya, Maran, Pahang.
Lelaki itu bagaimanapun terdiam seolah-olah orang pekak dan bisu ketika dihampiri penguat kuasa yang memintanya mengeluarkan kad pengenalan untuk pemeriksaan.
“Kedua-dua tangan lelaki tersebut kelihatan kecil tidak seperti manusia yang normal. Pegawai penguat kuasa JKM Maran menghampiri lelaki tersebut dan bertanyakan tujuannya meminta sedekah.
“Namun, pertanyaan penguat kuasa tidak dijawab. Kelihatan seperti seseorang yang pekak dan bisu. Dilihat di dalam beg kertasnya ada kepingan duit kertas hasil sedekah pengunjung pasar malam.
“Berkali-kali penguat kuasa JKM meminta kad pengenalan bagi tujuan rekod operasi pada hari ini. Tetapi tidak mendapat respon daripada lelaki tersebut,” kata JKM Maran dalam satu hantaran di laman Facebook.
Pengemis yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) fizikal itu akhirnya bersuara selepas didesak sebelum berjalan ke keretanya untuk mengambil kad pengenalan.
Alangkah terkejutnya pihak penguat kuasa apabila mendapati pengemis berkenaan mengambil kad pengenalan di dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70.
Rupa-rupanya, kereta Proton X70 itu sebenarnya dimiliki oleh pengemis berkenaan di mana ia dipercayai dibeli hasil daripada kegiatan meminta sedekah di pasar malam.
“Penguat kuasa mengekori lelaki tersebut ke kereta. Percaya atau tidak, seseorang yang tadinya hanya berdiri meraih simpati orang ramai atas kekurangan dirinya malah memandu sebuah Proton X70 Premium.
“Beliau tinggal di Balok, Kuantan dan akan ke pasar-pasar malam untuk menjalankan aktiviti pengemisan. Semakan juga mendapati beliau menerima Elaun Pekerja OKU daripada pihak JKM sebanyak RM450 sebulan sejak tahun 2001 lagi.
“Lelaki tersebut kemudian dilepaskan dengan amaran dan diminta menandatangani surat akujanji jaminan tidak akan mengemis seperti yang termaktub dalam Perintah Tetap Operasi.” Jelasnya.
Difahamkan, pengemis itu sempat mengaku mampu mengutip wang tunai berjumlah RM500 hasil meminta sedekah dalam masa empat hingga enam jam di pasar malam.
Perkara ini bermakna, pengemis berkenaan boleh menjana pendapatan sehingga mencecah RM15,000 sebulan sekiranya kegiatan terlarang tersebut dilakukannya setiap hari.
Baca juga: Kes Spanco, SPRM dakwa sudah rakam keterangan bekas menteri kewangan