Pengemis warga asing berleluasa? Sebulan boleh dapat RM12k, raih simpati dengan alasan keagamaan

Oleh MALAYSIADATELINE

Zaman sekarang agak susah nak percaya sama ada mereka yang duduk meminta sedekah itu adalah golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.

Sudah banyak kes di mana mereka yang meminta sedekah ini kantoi berlakon susah demi mendapatkan wang tanpa perlu berusaha.

Ditambah pula kebanyakan mereka yang meminta sedekah bukanlah warganegara Malaysia tapi disebabkan rasa simpati maka ramai menghulurkan bantuan.

Menurut Kosmo! Online, ada dalam kalangan pengemis dan pengutip derma warga asing ini memperoleh kutipan sehingga RM400 sehari atau RM 12,000 sebulan.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan empat warga asing dalam operasi Ops Kutip dan Ops Jaja.

Operasi ini dijalankan di sebuah pasar malam di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka yang ditahan dalam operasi terdiri daripada dua lelaki warga Thailand, seorang lelaki warga Kemboja dan seorang lelaki warga Pakistan.

Tindakan tersebut diambil susulan aduan awam berhubung kegiatan dan kewujudan pengemis dan pengutip derma warga asing di sekitar pasar malam berkenaan.

“Pengemis warga asing berusia antara 22 hingga 56 tahun itu dipercayai menjalankan aktiviti meminta sedekah sejak lebih tiga bulan di pasar malam tersebut.

“Pengemis yang ditahan dipercayai kudung sebelah kaki dan ada yang menggunakan alasan membiayai sekolah tahfiz atau institusi keagamaan untuk meraih simpati,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Dalam pada itu, berkongsi rekod, beliau memaklumkan JIM Negeri Johor telah melakukan serbuan di lokasi pasar malam itu pada Januari lalu.

Namun, masih terdapat individu-individu lain yang dipercayai melakukan kegiatan terbabit.

Katanya, pasar malam menjadi lokasi tumpuan pengemis dan pengutip derma ini hingga mampu memperoleh pendapatan yang lumayan.

Baca juga: Pakcik ini selamba parkir kereta atas bumbung rumah, “macam mana dia angkat?”