Pengerusi AMANAH Johor umum pertahan kerusi Parit Yaani

Pengerusi AMANAH Johor umum pertahan kerusi Parit Yaani

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Haji Aminolhuda Haji Hassan mengumumkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu.

Hal itu dinyatakan beliau ketika pelancaran bilik jentera Pusat Daerah Mengundi (PDM), Tongkang Pechah dan juga PDM Parit Yaani baru-baru ini.

Menurut ADUN Parit Yaani itu, khidmat yang beliau berikan selama ini telah membayangkan bahawa beliau akan terus mempertahankan DUN berkenaan dan beliau akan terus berkhidmat kepada masyarakat serta pengundi di DUN tersebut.

“Saya akan bertanding di DUN Parit Yaani sekali gus mempertahankan DUN ini dan sebelum ini pun khidmat yang saya berikan telah membayangkan bahawa saya akan terus berkhidmat di DUN ini.

“Saya menunggu siapa saja yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) di DUN ini sama ada beliau daripada MCA atau daripada pihak Umno,” ujar beliau.

Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat khabar angin yang menyatakan kerusi berkenaan kini menjadi rebutan parti komponen BN iaitu MCA dan Umno, dan masing-masing telah mengemukakan calon mereka sendiri.

Beliau yang dahulunya mewakili Pas menewaskan calon daripada MCA pada PRU13 mendakwa, terdapat keinginan yang kuat dalam kalangan Umno untuk bertanding di kerusi DUN Parit Yaani serta hasrat untuk menyingkirkan calon daripada MCA.

Aminolhuda menaikkan bendera gergasi AMANAH.

Beliau berkata, selama ini MCA telah menguar-uarkan kepada kaum Cina bahawa DAP adalah pengkhianat kaum Cina kerana DAP bersama dengan Pas, tetapi hari ini terbukti bahawa MCA telah menjadi tunggangan kepada Umno.

“Saya ingin bertanya, adakah benar desas-desus yang menyatakan Umno akan mengambil kerusi Parit Yaani daripada MCA? Adakah MCA mahu melepaskan kerusi tradisi yang selama ini mereka pertahankan?

“Ternyata MCA telah meludah ke langit kerana sewaktu PRU13 yang lalu, MCA telah menuduh DAP di hadapan kaum Cina mengatakan DAP pengkhianat kerana bersekongkol dengan Pas, hari ini jelas membuktikan siapa sebenarnya MCA di mata kaum Cina.

“Selama ini MCA hanya menjadi kuda tunggangan Umno bagi memuaskan kehendak mereka dan membelakangkan kaum Cina. Saya telah keluar Pas dan bersama parti AMANAH, sedangkan Umno hari ini dilihat semakin berbaik-baik dengan Pas.

“Saya ingin bertanya apakah pendirian MCA Sri Gading dalam hal ini? Adakah mereka juga boleh dituduh pengkhianat kepada bangsa mereka?” soal Aminolhuda.

5.6
OVERALL SCORE
4 user votes x 7.0
CATEGORIES