Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan gesa SPRM siasat Tok Mat isu RM10 juta

Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan gesa SPRM siasat Tok Mat isu RM10 juta

Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang didakwa pernah melakukan pemindahan wang ke luar negara secara tidak sah melalui pengurup wang.

Menurut Yang Dipertua Dun Negeri Sembilan itu, Mohamad atau dikenali Tok Mat sehingga kini tidak diambil sebarang tindakan.

“Siapa kata Mohamad orang bersih? Sebab saya orang pertama bersama Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Anthony Loke Siew Fook pada waktu itu telah buat laporan polis dan SPRM kerana beliau bawa duit keluar guna pengurup wang.

“Sampai sekarang tak ditangkap. Nanti saya akan jumpa SPRM persoalkan kenapa tak tangkap dia,” dipetik Sinar Harian ketika berucap di Bilik Gerakan di Taman Kelab Tuanku Mambau di Seremban semalam.

Untuk rekod, Mohamad sebelum ini beberapa kali menafikan dakwaan penglibatannya dalam skandal pemindahan RM10 juta melalui pengurup wang ke London pada 2008.

Mengulas lanjut, Zulkefly turut berpendapat penduduk Dun Rantau akan rugi jika Mohamad menang dalam PRK Dun tersebut, 13 April ini.

Walaupun telah tiga penggal Mohamad menjadi Adun Rantau, jelasnya, Dun tersebut tetap sama tanpa perubahan meskipun berdekatan dengan bandar Seremban, Port Dickson dan Sepang, Selangor.

“Beliau (Mohamad) tak lagi boleh jadi menteri besar kerana di Dun Negeri Sembilan, PH ada 20 kerusi dan BN ada 16 kerusi.

“Tak boleh tukar apa-apa pun. Yang akan jadi masalah adalah penduduk Rantau kerana Rantau tidak akan berubah,” ujarnya lagi.

Beli apartmen

Dalam hal berkaitan Mohamad hari ini pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Rantau menegaskan tidak berlaku penyalahgunaan kuasa berhubung isu pemindahan wang itu yang membabitkannya.

Beliau memberitahu SPRM telah menyiasatnya dan terbukti tidak bersalah.

“Tiada penyalahgunaan kuasa atau ada saya membuat sesuatu yang tak baik. Tujuan saya membeli apartmen di London.

“Terpulang kepada pihak berkuasa, kepada SPRM untuk buat siasatan,” kata Mohamad lagi.