Pengerusi ASEAN , Thailand tumpu kukuhkan lagi kerjasama

Pengerusi ASEAN , Thailand tumpu kukuhkan lagi kerjasama

Antara fokus utama Thailand yang bakal menduduki kerusi Pengerusi ASEAN pada tahun depan adalah bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara negara serantau itu, kata Duta Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn.

Katanya, mengukuhkan intergrasi di kalangan negara anggota ASEAN adalah tumpuan Thailand selain aspek pembangunan lestari yang menjadi agenda utama 10 negara anggota pertubuhan itu.

“Perkara pertama yang perlu kita pastikan adalah sama ada apa saja yang sudah dicapai, mampu dikekalkan. Oleh itu kelastrian menjadi agenda utama kami selaku pengerusi pada tahun depan,” katanya kepada Bernama di sini, semalam sempena sambutan ulang tahun Raja Bhumibol Adulyadej.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong yang mewakili Kerajaan Malaysia.

Ulang tahun kelahiran Raja Bhumibol jatuh pada 5 Disember, tarikh sama juga dipilih sebagai Hari Kebangsaan dan Hari Bapa.

Narong berkata, penting mengukuhkan kerjasama di kalangan ASEAN  serta masyarakat antarabangsa lain bagi menyiapkan rakyat terhadap keperluan mendatang, terutama menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat.

“Penting untuk kita membina kekebalan terhadap sebarang gangguan daripada inovasi yang tercipta. Jadi kami akan banyak berbincang mengenai perkara itu dalam ASEAN,” ujarnya.

Duta itu berkata menyambungkan antara negara dan rakyat juga akan dibincangkan untuk memastikan inisiatif integrasi saling melengkapi antara satu sama lain.

“Ramai orang ingin saling berhubungan. Dalam hal ini, Thailand mempunyai pelan induk sendiri termasuk menyambungkan rantau Indo-Pasifik. China juga ada mencadangkan inisiatif¬† “Belt and Road”.

“Kita bukan mahu bersaing sebaliknya memastikan semua inisiatif saling melengkapi,” katanya.

Bercakap mengenai hubungan dua hala Thailand-Malaysia, Narong berkata terdapat peningkatan keyakinan di kalangan komuniti Thailand, terutama selepas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad melawat negara itu pada Oktober.

“Kerjasama kedua-dua negara kukuh dan berterusan, lawatan Dr Mahathir memberikan lagi momentum dan dinamisme dalam perkongsian,” katanya.

Beliau berkata Dr Mahathir dilihat menguasai serta memahami isu mengenai Thailand-Malaysia, terutamanya kepentingan beberapa projek di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

“Dr Mahathir mahu melihat perdagangan dalam ASEAN berkembang dari 25 peratus hingga 30 peratus. Saya fikir sekarang kita di landasan betul dengan kedua-dua negara saling mempermudahkan dan mengalakkan lebih banyak perdagangan.

“Lihatlah pasaran (dunia) di sekeliling kita … (mereka) dalam kekacauan dan ketidaktentuan. ASEAN mempunyai kira-kira 700 juta penduduk, jadi usaha perlu diperbanyakkan untuk mempromosi perdagangan antara negara anggota,” katanya.

— BERNAMA