Malaysia Dateline

Pengerusi dan Setiausaha MPKK Dun Rantau kemungkinan dikenakan tindakan, kata Aminuddin

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata 11 pengerusi dan setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang membuat bantahan sebulat suara menolak Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr. S. Streram sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PKR) DUN Rantau kemungkinan dikenakan tindakan.

Katanya, beliau akan berunding dengan semua pihak sebelum mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka.

“Bagi saya, apa yang mereka lakukan adalah satu perkara yang serius dan kalau perlu tindakan disiplin, saya akan mengambil tindakan disiplin itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan seramai 11 pengerusi dan setiausaha MPKK DUN Rantau semalam yang sebulat suara menolak Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr. S. Streram sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PKR) DUN Rantau.

Mereka mendakwa Pakatan Harapan (PH) yang memilih untuk kalah lebih awal jika pakar buis itu yang bukan anak jati DUN berkenaan tetap dipilih.

Mengulas lanjut, beliau berkata seseorang yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri tidak sewenang-wenangnya boleh membuat pengumuman ataupun mengadakan sidang media yang kontroversi.

Katanya jika mereka ingin meluahkan rasa tidak puas hati atau bantahan, mereka sepatutnya melalui saluran yang betul.

“Ini menunjukkan bahawa mereka tidak mengikut saluran yang tepat. Seseorang yang dilantik oleh Kerajaan Negeri dan membuat keputusan tanpa berunding dengan Kerajaan Negeri adalah perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Mereka sebenarnya ada saluran yang boleh disalurkan dan apa yang mereka lakukan adalah satu perkara yang tidak mengikut peraturan,” katanya.

Mengenai persiapan Pakatan Harapan (PH) menghadapi PRK DUN Rantau yang akan diadakan tidak lama lagi, beliau yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata persiapan PH menghadapi PRK DUN Rantau memang sentiasa berjalan baik sejak dari dahulu lagi.

“Sebagai ‘underdog’ kita akan pastikan bahawa jentera kita berjalan dengan baik. Kita juga telah mengadakan beberapa siri mesyuarat di peringkat pusat dan negeri berhubung persiapan jentera pilihan raya kecil itu. Kita akan sentiasa memastikan perkara ini berjalan lancar.

“Kita sedang menunggu pengumumam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai tarikh pencalonan dan mengundi,” katanya.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Feb lepas menolak rayuan yang dikemukakan oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytiharkan kemenangannya di DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai terbatal dan tidak sah.

Pada 28 April tahun lepas,  PKR menerusi calonnya Dr Streram tidak dibenarkan bertanding ekoran ketiadaan pas yang dikeluarkan SPR untuk memasuki pusat penamaan calon menyebabkan Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO diumumkan menang tanpa bertanding di kerusi itu.

Dr Streram kemudian memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula kerana mendakwa Mohamad tidak dipilih secara sah dan terbatal, pada 23 Mei tahun lepas.– BERNAMA