Pengerusi DAP Perak dakwa datuknya bekas perajurit pertahan negara

Pengerusi DAP Perak dakwa datuknya bekas perajurit pertahan negara

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming memberitahu datuknya adalah bekas tentera yang mempertahankan negara ini ketika era Perang Dunia Kedua lebih 70 tahun lalu.

Tanpa menyebutkan unit keselamatan yang disertai datuknya, Ahli Parlimen Teluk Intan itu mendakwa datuk Naib Ketua Wanita DAP, Hannah Yeoh merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga adalah bekas perajurit.

Kor Ming berkata, sumbangan tentera ketika penaklukan Jepun di tanah air ini wajib diberi penghargaan.

“Mendiang datuk saya dan @hannahyeoh adalah bekas perajurit yang mempertahankan negara semasa perang dunia kedua.

“Bila Jepun menjajah tanah air kita, mereka yang berkorban mempertahankan kedaulatan negara adalah wira dan wirawati, sumbangan mereka wajib diberi penghargaan,” kata Kor Ming dalam ciapan akaun Twitter miliknya.

Turut disertakan dalam ciapan di media sosial itu empat keping gambar yang tanpa menerangkan butiran lanjut berkenaan majlis tersebut.

Gambar-gambar tersebut antaranya memaparkan Kor Ming sedang berucap di belakang barisan bendera China, Jepun dan satu lagi bendera yang tidak lengkap kelihatan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu juga kelihatan menandatangani plak keterangan pada individu tertera dengan nama Ni Zhi-xiang yang dipercayai mungkin mendiang datuknya dalam majlis seperti pameran itu.

Pameran dalam program tersebut juga dilihat menggunakan bahasa Cina dan bahasa Inggeris.

Kor Ming, 46, yang lahir di Ayer Tawar, Perak pernah tiga penggal sejak 1999 menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis.

Tangkap layar ciapan Twitter milik Nga Kor Ming tentang datuknya sebagai tentera.