Malaysia Dateline

Pengerusi Felda akui tanah jalan Semarak masih milik pemaju

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad mengakui tanah-tanah Felda di Jalan Semarak masih lagi dimiliki pihak pemaju.

Shahrir diminta mengulas dakwaan ahli parlimen Pandan yang juga naib presiden PKR Mohd Rafizi Ramli semalam bahawa salinan geran tanah di Jalan Semarak itu menunjukkan kesemua 16 lot tanah masih lagi dimiliki Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (Lot 390) dan Synergy Promenade Sdn Bhd (15 lot yang lain).

Shahrir menjelaskan kesemua tanah berkenaan masih di bawah kaveat pendaftar.

“Tanah itu tidak boleh dilakukan sebarang urusan termasuk didaftarkan kembali kepada Felda selagi adanya kaveat pendaftar. Kaveat pendaftar itu ialah cara untuk melindungi kepentingan Felda.

“Apabila Felda membuat laporan polis pada 26 Dis, (tanah itu) diletakkan kaveat pendaftar. Jadi selagi tidak diangkat kaveat pendaftar itu atau dibatalkan kaveat pendaftar itu, sebarang urusan tidak boleh dilakukan ke atas tanah berkenaan termasuklah pendaftaran milik balik kepada Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda di sini, malam tadi, lapor Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata, Felda yakin akan mendapat kembali tanah itu.

“Dalam mana-mana proses pindah milik, ia perlu dilakukan melalui resolusi lembaga pengarah (pemaju). Jadi, sebagai syarikat, nama tanah itu dalam nama syarikat.

“Untuk syarikat itu pindah milik balik (tanah) kepada Felda, syarikat kena buat resolusi lembaga pengarah dan tandatangan. Kedua, kena ditandatangani dan juga diletakkan cop mohor kepada borang 14A. Jadi dua dokumen itu berada dengan Felda,” katanya.