Malaysia Dateline

Pengerusi LKIM tinjau projek ikan PNK Telok Bahang

Bagi mengetahui lebih dekat masalah yang dihadapi oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Faiz Fadzil tetap meneruskan rutin turun padang.

Yang terbaru apabila ia turun padang bagi meninjau projek ternakan ikan PNK Telok Bahang di Kepala Batas pada Isnin.

Menurut Faiz, kolam tersebut telah diusahakan oleh PNK Telok Bahang bagi meningkatkan pendapatan persatuan nelayan yang seterusnya boleh dimanfaatkan kepada ahli.

Namun begitu ujarnya, tanah tersebut adalah milik beberapa individu yang telah disewa oleh PNK Teelok Bahang yang menyukarkan mereka untuk merancang projek ekonomi bagi jangkamasa panjang.

“Antara sokongan yang diberikan oleh LKIM adalah dengan membantu dari sudut bimbingan dan kewangan termasuklah pembinaan 20 sangkar sedia ada.

“Walau bagaimana pun ia masih tidak mencukupi bagi mengimbangkan perniagaan di kawasan tersebut.

“Sejajar dengan itu lawatan yang dilakukan kelmarin adalah bagi meninjau dengan lebih dekat apa yang boleh LKIM bantu bagi memastikan perancangan projek ekonomi di situ dapat dibangunkan dengan jayanya, ” jelas beliau lagi.

Faiz yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir turut berkata, adalah menjadi visi beliau sebagai Pengerusi LKIM di tahun kedua untuk terus memperkukuhkan persatuan-persatuan nelayan.

Selain itu tambahnya, ia juga dalam usaha untuk meningkatkan sosio ekonomi para nelayan agar mereka dapat bergerak sebaagai sebuah entiti korporat dan bukan lagi perniagaan seperti biasa.