Malaysia Dateline

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara kena Covid-19

Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yasin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) disahkan positif Covid-19 hari ini.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau disahkan positif selepas membuat ujian Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR).

“Alhamdullillah, saya hanya mengalami gejala ringan dan dalam keadaan baik.

“Mengikut protokol Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya akan menjalani kuarantin kendiri di rumah,” katanya dalam hantaran di Facebook pagi ini.

Sehubungan itu, Mahiaddin berkata, sesiapa yang berkemungkinan menjadi kontak rapat dinasihatkan supaya mematuhi protokol yang ditetapkan oleh KKM.

“Mohon doakan kesihatan saya dan keluarga,” tambah Ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Pagi semalam, Mahiaddin mempengerusikan mesyuarat MPN Bil 2 Tahun 2022 yang disertai Menteri-Menteri Kabinet, ahli-ahli Majlis serta pegawai kanan kerajaan.

Mesyuarat itu juga disertai Tan Sri Dr Sulaiman Mahboob selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Sekretariat MPN.

Mahiaddin mempengerusikan mesyuarat MPN yang disertai Menteri-Menteri Kabinet.