Pengerusi Mywatch didakwa lagi  atas pertuduhan peras ugut

Pengerusi Mywatch didakwa lagi atas pertuduhan peras ugut

Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) Datuk R. Sri Sanjeevan hari ini sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan peras ugut.

Sanjeevan, 32, yang memakai kemeja petak berwarna putih mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Sanjeevan didakwa melakukan pemerasan bagi mendatangkan ketakutan terhadap Mohamad Azhan Hamza, 32, di Restoran Marakesh, Jalan Raja Uda, Kampung Baru, di sini pada 9 malam, 22 Mei 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurelynna Hanim Abd Halim tidak menawarkan sebarang wang jaminan.

Peguam Ravin Jay yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya yang sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan di mahkamah Negeri Sembilan dan Pahang dibenarkan diikat jamin.

“Semua kes ini diberikan jaminan, beliau telah membayar jumlah jaminan RM21,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan sebelum ini,” katanya.

Ahmad Solihin membenarkan Sanjeevan diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Sept untuk sebutan semula kes.

Pada 12 Ogos lalu Sanjeevan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang atas pertuduhan memeras ugut.

Sanjeevan juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret Seremban, Negeri Sembilan atas dua petuduhan iaitu menggaji warga asing tanpa pas dan memeras ugut pada 19 Julai lepas.

TAGS