Pengerusi NFC Corp hairan tindakan saman AG terhadap keluarganya
Datuk Mohd Salleh

Pengerusi NFC Corp hairan tindakan saman AG terhadap keluarganya

Pengerusi National Feedlot Corporation (NFCorp) Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail mempersoalkan tindakan pemfailan penyataan tuntutan oleh Peguam Negara (AG) terhadapnya dan keluarga mengenai pinjaman NFCorp yang masih tertunggak.

Sedangkan, katanya, isu pembayaran balik pinjaman sepenuhnya kepada pihak kerajaan telah pun dimaklumkan November 2018.

Katanya, NFCorp juga telah memulakan usaha pemulihan pembangunan dan proses penstrukturan semula syarikat.

“Beberapa perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah diadakan yang pada dasarnya disambut baik seperti diumumkan menteri, Datuk Salahuddin Ayub.

“Surat tawaran pembayaran balik pinjaman sepenuhnya telah juga diutuskan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang terkini pada 17 Mei.

“Sehingga kini, pihak NFCorp belum mendapat apa-apa jawapan. Namun, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya mengikut proses perundangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

The Edge melaporkan, kerajaan telah memfailkan saman minggu lepas untuk mendapatkan semula pinjaman RM253 juta daripada NFC.

Jabatan Peguam Negara menamakan NFC, Mohamad Salleh, tiga anaknya dan enam syarikat berkaitan keluarga itu sebagai responden.

Jelas Mohamad, beliau berharap isu ini diselesaikan melalui pembayaran sepenuhnya pinjaman tertunggak kepada kerajaan dalam masa terdekat.

“Lagipun, ini akan membantu dalam meringankan beban kewangan negara seperti disebut pihak berkuasa.

“Saya yakin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, isu ini akan mencapai kata penyelesaian di mana NFCorp akan membayar balik baki tertunggak pinjaman kepada kerajaan dan aspirasi-aspirasi projek penuh potensi ini akan dipenuhi,” katanya seperti dipetik Sinarharianronline hari ini.