Pengerusi NGO bergelar Datuk ditahan terima wang perlindungan RM25,000

Pengerusi NGO bergelar Datuk ditahan terima wang perlindungan RM25,000

Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pencegahan jenayah terkenal berpangkat Datuk ditahan polis malam tadi kerana didakwa menerima wang perlindungan dalam kejadian di Nilai, Negeri Sembilan.

Suspek sebelum itu individu yang dilihat aktif menentang jenayah berkaitan judi, maksiat dan kongsi gelap selain pernah mengkritik polis berkenaan isu jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan penahanan seorang pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan jenayah malam tadi, dilakukan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti peras ugut.

Katanya, suspek berpangkat Datuk berusia 32 tahun itu ditahan ketika bersama seorang mangsa yang diugut supaya membayar sejumlah wang jika tidak mahu aktiviti haramnya didedahkan kepada media atau pihak berkuasa.

 “Saya sahkan tindakan menangkap suspek dilakukan berdasarkan laporan mangsa yang sering menerima ugutan.Lelaki itu ditahan ketika menerima wang daripada pengadu (mangsa),” katanya hari ini.

Dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu, suspek ditahan di Plaza Tol Nilai, Negeri Sembilan, pada jam 10.50 malam tadi bersama wang tunai berjumlah RM25,000, dipercayai diserahkan mangsa sebelum serbuan dilakukan.

Polis turut merampas wang tunai RM16,000 dalam kereta Toyota Vellfire dinaiki suspek.

Turut ditahan, seorang lelaki warga India dipercayai pemandu suspek.

Suspek dan pemandunya yang ditahan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 384 kanun sama, akan direman di Mahkamah Seremban, hari ini.

Pihak polis meminta individu yang pernah menjadi mangsa suspek berkenaan berhubung kegiatan peras ugut, diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Menurut sumber, suspek yang berbangsa India  itu ditahan ketika menerima rasuah daripada pengusaha premis judi ditahan oleh pasukan polis Jabatan Penyiasatan Jenayah Bukit Aman kira-kira pukul 10.55 malam tadi di Plaza Tol Nilai.

Suspek sebelum ditahan didakwa telah bertemu dengan pengadu yang turut dipercayai bertanggungjawab menjalankan aktiviti judi haram itu.

Pengadu seorang lelaki berusia 38 tahun membuat laporan polis ekoran menerima ugutan daripada suspek. Mangsa didakwa menerima panggilan dari suspek yang kemudian mengugut akan menyiarkan fitnah ke atas pengadu dalam Facebooknya sekiranya pengadu tidak memberi wang perlindungan.

Akibat tertekan dengan ugutan dan takut, pengadu telah membuat aduan demi perlindungan keselamatan diri dan keluarga. Pengadu kemudian berjumpa dengan suspek di Tol Nilai. 

Suspek ditahan polis dan merampas wang berkenaan sebaik sahaja pengadu meletakkan wang di tempat duduk penumpang belakang seperti diarahkan suspek.

COMMENTS

Wordpress (0)