Malaysia Dateline

Pengerusi PAC baharu perlu bebas kontroversi politik, kes SPRM, kata Hasanuddin

Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyifatkan calon terbaik menggantikan Ronald Kiandee sebagai pengerusi Pac perlulah dari pemimpin yang tiada rekod kes melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahlinya, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata pemimpin tersebut tidak seharusnya terlibat dengan kontroversi mengaitkan SPRM mahupun parti politik.

Katanya, biarpun sebelum ini Pengerusi PAC, Ronald Kiandee dari parti politik pembangkang namun beliau mengendali dan memimpin mesyuarat dengan sangat professional, telus, dan terbuka.

“Jika orang yang memimpin PAC didapati terlibat dengan kes SPRM atau namanya tidak bersih, saya khuatir integriti beliau akan diragui.

“Kita harapkan pemimpin yang bakal jadi pengerusi Pac kelak tidak menilai seseorang berdasarkan perbezaan parti politik.

“Pemimpin itu juga perlu sentiasa mendengar pandangan serta kritikan dan soalan tajam dari ahli Pac yang lain sepanjang prosiding mesyuarat dijalankan.

“Namun begitu, kami juga risau jika kita lantik calon pembangkang yang belum diuji tahap kebolehannya, kita khuatir ia akan menganggu perjalanan kita,” katanya.

Beliau menambah, jika keputusan sudah dibuat untuk menggantikan Kiandee, calon yang perlu mengisi kerusi tersebut mestilah seorang yang profesional dan tidak hanya sibuk pada politik semata mata.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan tentang ciri-ciri calon yang sesuai mengisi jawatan Pengerusi Pac menggantikan Kiandee.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat turut berkata, buat masa ini mereka tidak akan gopoh menukar dan mencari pengganti untuk memastikan perjalanan PAC berjalan lancar.

“Sekurang-kurangnya ia mengambil masa dua bulan untuk kami meninjau. Kami juga ingin bagi peluang pada ahli-ahli lain untuk menilai calon,” ujarnya.

Pada Ahad Tun Dr Mahathir berkata Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee akan mengetuai Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara sehingga penggantinya ditemui.

Ini susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai ahli PAC kerana beliau membenarkan Kiandee kekal sebagai pengerusi jawatankuasa itu selepas menyertai PPBM, 15 Mac lalu dan semalam semua AJK PAC BN dan Pas mengumumkan untuk melepaskan jawatan mereka.

“Terpulang pada rakyat sama ada untuk menagih janji atau mahukan orang yang berkualiti seperti Kiandee,”katanya.

Beliau turut menafikan tindakan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang bertindak meletak jawatan sebagai berjaya mengubah pendirian Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dari mengekalkan Kiandee sebagai pengerusi Pac.

Katanya, surat rasmi yang dihantar oleh ahli parlimen Pac sendiri yang memungkinkan Tun Mahathir berfikir semula tentang manifesto yang dijanjikan dari mengekalkan pengerusi sedia ada.

“Kami boleh menjangkakan hasil surat yang kami hantar merupakan faktor Tun Mahathir berfikir dan menilai semula.

“Kami anggap tidak semestinya anggota Pac perlu letak jawatan semata-mata ingin bawa ideanya yang bernas kerana banyak lagi pendekatan lain yang boleh dilakukan sebagai ahli parlimen.

“Saya hormati keputusan Nurul Izzah tetapi bagi saya, ahli politik harus bersikap lebih terbuka dan berani dalam mnghadapai pemimpin sendiri ataupun pemimpin pembangkang,”katanya.

Beliau berkata demikian yang menambah ahli Pac pernah menghantar surat secara pribadi kepada Tun Mahathir untuk mengingatkan dan mempertahankan keputusan manifesto bahawa pengerusi Pac perlu dipenuhi dari kalangan pembangkang sebagai memberi tekanan kepada keputusan Perdana Menteri mengekalkan Kiandee tanpa mencari penganti segera.