Malaysia Dateline

Pengerusi panel SPRM wajar letak jawatan, gantung sekali tugas Azam Baki

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar menyarankan agar pengerusi panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Borhan Dolah meletakkan jawatan beliau.

Ia susulan dakwaan bahawa Borhan Dolah gagal membincangkan laporan kritikal membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang dilapor mempunyai pemilikan kira-kira 2 juta unit saham di sebuah syarikat senarai awam.

Mahfuz berkata, Azam Baki juga perlu digantung dari tugasnya susulan dakwaan yang timbul.

“Sewajarnya pengerusi panel Borhan Dolah meletakkan jawatan dan Tan Sri Azam Baki digantung jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sehingga selesai siasatan.

“Satu jawatankuasa siasatan bebas di bawah Parlimen perlu ditubuh,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.

Terdahulu, Prof Dr Edmund Terence Gomez, mengumumkan perletakan jawatannya sebagai ahli panel SPRM.

Perletakan jawatannya itu selepas Borhan Dolah didakwa mendiamkan diri dan gagal membalas surat-suratnya untuk mengadakan mesyuarat segera untuk membincangkan konflik berkepentingan membabitkan pegawai-pegawai tinggi SPRM.

Sementara itu, Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa pula berkata, peletakan jawatan Gomez sebagai ahli panel di bawah SPRM sebagai isyarat bahawa reputasi badan anti-rasuah itu sudah tercalar.

Beliau berkata demikian dalam ciapan di Twitter hari ini.

Beliau juga menyebut nama Ismail Sabri dalam hantaran Twitter dan menggesa agar perdana menteri memulihkan semula imej SPRM dengan segera.

“Peletakan jawatan Dr Edmund Terrence Gomez dalam Panel Penasihat dan Pencegahan Rasuah di bawah SPRM adalah isyarat reputasi badan anti-rasuah itu sudah tercalar.

“@IsmailSabri60 perlu tegas pulihkan SPRM sekarang,” ciapnya.