Malaysia Dateline

Pengerusi PH Sarawak bertanding kerusi DUN Padungan

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak.

Sebelum ini, beliau yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak merupakan penyandang kerusi DUN Kota Sentosa selama tiga penggal.

Chong berkata, kerusi DUN Pending pula akan ditandingi Violet Yong yang juga penyandang sedia ada, Kota Sentosa (Michael Kong), Batu Kitang (Abdul Aziz Isa) dan Stakan (Leslie Ting).

“Manakala, kerusi DUN Batu Kawah akan ditandingi Kelvin Yii yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching,” tegasnya di Kuching malam tadi.

Berikutan keputusannya bertanding di Padungan, Chong berkata sebagai pengerusi DAP negeri, beliau harus ambil alih kerusi itu selepas penyandangnya Wong keluar parti.

“Saya sebagai ketua perlu berdepan dengan pengundi di Padungan yang mana penyandang yang mereka pilih sebelum ini telah keluar parti.

“Bagi pencalonan Kelvin di Batu Kawah pula, ia dibuat mengambil kira peranan besar Ahli Parlimen Bandar Kuching itu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (Kesihatan, Sains dan Inovasi).

“Pengalaman, pengetahuan dan kepakaran Kelvin di peringkat nasional sangat diperlukan dan diharap beliau akan diberi peluang dalam DUN Sarawak,” katanya.