Malaysia Dateline

Pengerusi SPR buat ‘silap mata’ undi pos

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mempertikai tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah sembilan kategori pengundi pos pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Menurutnya, keputusan tersebut bercanggah dengan 22 cadangan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) bagi Penambahbaikan Pilihan Raya termasuk berkaitan undi pos.

“Undi pos ini dikawal oleh pihak atasan. Selama ini, undi pos untuk tentera, polis dan isteri masing-masing.

“Tiba-tiba Pengerusi SPR terbaru, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah (yang juga), mantan setiausaha sulit Annuar Musa, ahli parlimen Umno Ketereh, tidak tahu silap matanya.

“Tidak cukup dengan tentera, polis, dan isteri mereka, dia tambah sembilan lagi kategori sampai undi pos mencecah lebih satu juta orang.

Nurul Izzah Anwar

“Jumlah itu termasuk jururawat, pegawai kesihatan, pegawai penjara. Semua sebagai pengundi pos,” katanya semasa Ceramah Perdana Pakatan Harapan Parlimen Sungai Buloh P107 semalam.

Beliau yang menggelar PRU-14 sebagai ‘pilihan raya pos’ memberitahu pada PRU-13 2013, terdapat sejumlah 400,000 pengundi pos.

“Dia mahu pastikan kita kalah 30 daripada 222 kerusi Parlimen,” dakwa bekas ahli parlimen Lembah Pantai itu.

Nurul Izzah juga memberitahu lebih 28,000 anggota tentera dan ahli keluarga di seluruh negara ditambah dalam senarai pemilih menjelang pertengahan tahun lalu.

Untuk rekod, PSC bagi langkah penambahbaikan perjalanan sistem pilihan raya pada 2012 antara lain mengesyorkan pembersihan daftar pemilih secara berterusan, akses media yang bebas dan saksama ketika tempoh berkempen serta memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara sama ada mengundi di Perwakilan Malaysia atau secara pos.

Menjelang PRU-14, SPR membuka permohonan undi pos kepada warga Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih termasuk dalam kategori Pengundi Pos Dalam Negara mulai 19 Februari lepas manakala Pengundi Pos Luar Negara sejak 23 Januari lalu.

Kategori mereka yang layak memohon mengundi melalui pos adalah yang disahkan oleh majikan dan perlu bertugas pada hari mengundi.

Selain polis dan tentera yang tidak dapat hadir mengundi awal, mereka adalah petugas media, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), anggota Jabatan Penjara Malaysia, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta anggota dan petugas hospital dan klinik kerajaan.

Turut tersenarai anggota Sukarelawan Polis, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), anggota Jabatan Imigresen, anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta anggota Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Sehubungan itu, pemantau pilihan raya Bersih 2.0 menganggap tindakan SPR membesarkan kategori pengundi pos sebagai “bermasalah” serta “melanggar prinsip hak mengundi, keselamatan undi, integriti pilihan raya dan proses demokrasi”.

Bersih 2.0 juga berpendapat tiada garis panduan yang jelas tentang identiti “majikan” serta mempersoal permohonan pengundian pos dalam negara yang telah dibuka sebelum tarikh sebenar pilihan raya dimaklumkan.

“Bagaimana penjawat awam boleh membuat permohonan undi pos tanpa mengetahui bahawa mereka sememangnya bertugas pada hari mengundi?” dipetik daripada kenyataan Bersih 2.0 pada 21 Februari lalu.