Pengerusi SPR pendekkan khidmat hingga 1 Julai

Pengerusi SPR pendekkan khidmat hingga 1 Julai

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 1 Julai depan.

Beliau dikatakan ‘memendekkan’ tempoh perkhidmatannya dan memaklumkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melalui surat yang bertarikh 11 Jun 2018.

Penamatannya dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat suruhanjaya itu hari ini.

“Pemendekan tempoh perkhidmatan ini telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan dimaklumkan melalui surat daripada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara bertarikh 7 Jun 2018,” jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dibuat ketika beberapa pegawai kanan kerajaan meletakkan jawatan susulan pertukaran kerajaan pusat pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Terdahulu, Hashim telah dilantik sebagai Pengerusi SPR pada 24 Januari 2016 dan ketika itu beliau menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengerusi SPR.

Beliau memulakan kerjaya dalam kerajaan pada 2 April 1980 sebagai Pegawai Tadbir, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan pernah menjawat jawatan Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau bersara wajib pada 31 Ogos, 2014 sebelum dilantik sebagai timbalan pengerusi SPR pada 5 September 2014.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS