Pengerusi Suhakam letak jawatan kerana kecewa, kata aktivis hak asasi manusia

Pengerusi Suhakam letak jawatan kerana kecewa, kata aktivis hak asasi manusia
Tan Sri Rozali Ismail

Seorang aktivitis hak asasi terkenal percaya kekecewaan merupakan sebab di sebalik peletakan jawatan Tan Sri  Razali Ismail sebagai pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hanya 2 minggu sebelum tamat tempoh jawatan beliau.

Penasihat Suaram, Kua Kia Soong, juga memuji bekas duta Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu kerana bersedia berdepan dengan kerajaan dalam beberapa isu kontroversi.

Salah satu daripadanya ialah inkuiri mengenai kehilangan orang ng menyaksikan Suhakam menuduh polis terlibat dalam penculikan mereka.

“Keberanian untuk mempertanggungjawabkan Cawangan Khas Bukit Aman atas kehilangan itu adalah sangat penting,” ujar  Kua seperti dipetik  FMT.

Kua Kia Soong

Dilaporkan pada Isnin  bahawa Razali menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Agong.

“Sudah 3 tahun saya (di Suhakam). Saya fikir saya telah lakukan kerja yang baik. Sekarang saya mahu membuat lebih banyak kerja advokasi.

“Memperjuangkan hak asasi manusia adalah kerja advokasi. Memadailah selepas suatu tempoh.

“Ia tetap satu advokasi. Ia tidak membawa banyak perubahan di bawah,” katanya seperti dipetik  Malaysiakini.

Awal bulan ini, Suhakam merumuskan bahawa Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat merupakan mangsa kehilangan paksa.

Kua berkata, Razali pasti kecewa dengan reaksi dingin kerajaan kepada dapatannya mengenai kes orang hilang itu.

Beliau berkata, “pusingan U” Putrajaya berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk DIskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom juga mungkin mengecewakan Razali.

“Ini adalah pengajaran penting untuk kerajaan. Ia mesti melihat Suhakam secara lebih serius dan bertindak atas cadangannya.

“Kalau tidak, anda mungkin dapati orang meletakkan jawatan atau tidak mahu menjadi sebahagian daripadanya,” kata beliau.