Malaysia Dateline

Pengerusi UDA, jururawat pelatih positif COVID-19

Pengerusi UDA Holdings Berhad, Datuk Hisham Hamdan dilapor telah dikesan positif jangkitan penyakit coronavirus 2019 (COVID-19), lapor MalaysiaGazette hari ini.

Dalam notis dalaman yang dikeluarkan oleh UDA, syarikat itu menasihati mana-mana individu yang berhubungan langsung dengan Hisham supaya menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan berdekatan.

Pihak terbabit terutamanya yang mengalami simptom demam panas, sakit tekak dan lain-lain.

Hisham dikatakan telah menghadiri Majlis Apresiasi pada 27 Februari lalu di Hotel Ancasa Kuala Lumpur.

Mereka diminta tidak mendedahkan diri dengan orang lain. Notis itu turut meminta semua pihak bertenang dalam menghadapi situasi tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang jururawat pelatih yang bertugas di hospital swasta disahkan antara empat kes baharu COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Jururawat wanita berusia 20 tahun itu adalah kes ke-27 yang menjalani latihan sangkutan jangka pendek di hospital swasta yang merawat kes ke-24.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, semasa aktiviti pengesanan kontak rapat yang dijalankan pihak Pejabat Kesihatan Daerah, jururawat itu dikenal pasti mengendalikan kes ke-24 tanpa memakai sebarang alat perlindungan diri.

Dr Noor Hisham berkata, kes-29 adalah seorang wanita berusia 35 tahun yang dimasukkan ke sebuah hospital swasta dan ditempatkan di bilik berdua dengan kes ke-24.

“Ketika itu kes ke-24 belum diketahui menerima jangkitan COVID-19 dan hanya dikenal pasti ketika aktiviti pengesanan kontak rapat.

“Kes-28 pula adalah rakyat Malaysia berusia 45 tahun yang juga rakan sekerja kes ke-25 dan mempunyai sejarah perjalanan ke Milan, Itali pada 15 hingga 21 Februari lalu.

“Manakala kes-26 pula adalah rakyat Malaysia berusia 52 tahun yang mempunyai perjalanan ke Shanghai, China pada pertengahan Januari lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berkata berdasarkan empat kes baharu itu, sehingga jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 29 kes disahkan iaitu 17 orang dalam kalangan Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI), kontak rapat (10) dan rakyat Malaysia dibawa pulang (2).

“Dari jumlah itu, 15 individu adalah warga China, 11 Malaysia dan masing-masing seorang warga Amerika Syarikat, Jepun serta Itali,” katanya lagi.