Malaysia Dateline

‘Pengerusi Umno Melaka dah kena kompaun ke belum?’

Beberapa hari lalu, kecoh di media sosial apabila tersebar beberapa keping gambar Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau didakwa membawa rombongan lebih 20 orang penyokong termasuk Datuk Seri Najib Razak ke pusat penamaan calon dua hari lalu.

Susulan itu, seorang peguam, Syahredzan Johan mempersoal sama ada Rauf sudah dikenakan kompaun atau belum.

“Pengerusi Umno Melaka dah kena kompaun ke belum sebab berarak masa hari pencalonan?,” ciapnya di Twitter membalas siri hantaran dimuatnaik Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir.

Dalam hantaran tersebut, Akmal menyertakan gambar perarakan sekumpulan penyokong Barisan Nasional dengan kapsyen:

“Apa khabar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)? Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)? Majlis Keselamatan Negara (MKN)?,” tulisnya.

Untuk rekod, polis telah membuka tiga kertas siasatan membabitkan kehadiran penyokong ketika proses penamaan calon 8 November lalu, membabitkan tiga lokasi iaitu dua di daerah Melaka Tengah dan satu Alor Gajah.

Pihak polis memaklumkan, laporan diterima selepas terdapat kehadiran penyokong dalam jumlah antara 15 hingga 25 orang di pusat penamaan calon.

Bagaimanapun setakat semalam tiada kompaun dikeluarkan kepada calon yang terlibat.

Dilaporkan, calon Pakatan Harapan antara yang turut dilaporkan akan disiasat kerana melanggar SOP PRN.