Malaysia Dateline

Pengetua Maahad Tahfiz calon PKR di Sungai Kandis

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim mengumumkan Mohd Zawawi Ahmad Mughni sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis malam tadi..

Nama Mohd Zawawi,48, diumumkan Dr Wan Azizah pada Majlis Pelancaran Jentera PKR Pilihan Raya Kecil N49 Dun Sungai Kandis, di Padang Rakyat Jalan Kebun, Shah Alam, malam tadi, di hadapan penyokong dan ahli parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Ketika berucap, Dr Wan Azizah berkata, beliau mahu semua jentera bekerjasama demi mempertahankan kerusi Dun Sungai Kandis kepada PKR.

“Ramai rasa mereka layak dan boleh menang. Saya tahu ramai tapi satu saja yang dapat kita letak sebagai calon PKR.

“Kita mahu kekalkan kemenangan PKR di Sungai Kandis. Saya mohon kita bekerja keras tidak kira sama ada dipilih atau tidak tapi kita bekerja bersama demi kejayaan PKR dan Pakatan Harapan,” katanya.

Turut hadir Naib Presiden PKR dan juga Menteri Besar Selangor, yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, Amirudin Shari; Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya II, Azmizam Zaman Huri.

Mohd Zawawi yang berkelulusan Sarjana Muda (Bahasa Arab) dari Universiti Al Azhar, Mesir, pada 1995 dan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dari Universiti Malaya pada 2005, sudah terbabit dengan politik sejak zaman Reformasi lagi.

Beliau yang bergerak sebagai penceramah dalam kempen dan program kesedaran, membawa pelbagai isu antaranya membabitkan Islam dan Melayu, keadilan untuk semua, penyelewengan dan rasuah.

Beliau menjadi ahli PKR secara rasmi pada 2012 selain terbabit dengan banyak siri program ceramah dan latihan ahli serta pemimpin PKR di Cabang Kota Raja serta Ranting Jalan Kebun.

Mohd Zawawi juga adalah Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan PKR Pusat.

Kerusi Dun Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai.

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Shuhaimi mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ke-3 berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan 4 penjuru.

PRK Sungai Kandis ini akan menyaksikan pertandingan antara dua penjuru  setelah  Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ketetapan itu dibuat sejurus Umno membuat keputusan untuk meletakkan calonnya pada PRK itu.

Umno akan mengumumkan calonnya hari ini namun belum ada keputusan mengenai  sama ada akan  bertanding atas tiket Umno atau BN.