Penggabungan RHB-AMBank:  Jangan mangsakan pekerja

Penggabungan RHB-AMBank: Jangan mangsakan pekerja

Dzulkefly Ahmad Beliau berkata, dalam suasana pengangguran yang kritikal serta kesukaran mendapat pekerjaan, amat tidak wajar untuk entiti baru ini memberhentikan pekerja mereka.

Jumlah pekerja RHB-Ambank adalah 25 ribu dan dikatakan yang akan diberhentikan adalah beberapa ribu pekerja.

Justeru, katanya, segala usaha mesti dilakukan untuk membuka pelbagai perkhidmatan baru seumpama dalam perbankan lslam atau pengurusan kekayaan (wealth management).

“Segala usaha mesti dilakukan untuk membuka pelbagai perkhidmatan baru seumpama dalam perbankan lslam atau pengurusan kekayaan (wealth management), yang boleh menggunakan ketrampilan atau membangunkan lagi ketrampilan baru pekerja supaya lebih produktif dan berdaya-saing.

“Perlu dielakkan pekerja menjadi mangsa pada setiap pergabungan bank untuk melahirkan bank yang lebih besar lagi,” katanya dalam kenyataan.

RHB Bank Berhad dan Ambank Group mengumumkan menerima kelulusan Bank Negara untuk memulakan rundingan cadangan penggabungan dua entiti itu.

Ia kini memasuki fasa rundingan perjanjian eksklusif bagi memuktamadkan terma serta syarat penggabungan.

Kedua-dua bank mempunyai sehingga 30 Ogos 2017 untuk memuktamadkan rundingan.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata, dilihat dari segi sinergi perniagaan, para analisis tidaklah menganggap gabungan ini mempunyai potensi untuk melonjakkan keuntungan mereka.

“Kedua-dua mahu mencebur aktif dalam sektor Industri-Kecil Sederhana (SME) yang bukan merupakan kekuatan mereka.

“Kekuatan Ambank adalah dalam sektor pinjaman kereta, sementara RHB adalah dalam bank pelaburan (investment banking).

“Pokoknya tidaklah besar menafaat itu kecuali dalam mengurangkan kos operasi mereka (cost synergies). Tidak dinafikan juga wujud risiko gabungan seumpama kemerosotan pertumbuhan pinjaman,” katanya.

RHB dan AmBank masing-masing merupakan bank kelima dan ketujuh terbesar di Malaysia berdasarkan permodalan pasaran.

Sekiranya rancangan penggabungan itu berjaya, ia bakal menjadikannya bank keempat terbesar di Malaysia selepas Maybank, CIMB dan Public Bank.