Penggajian pekerja sektor O&G dalam talian positif pada 2018

Penggajian pekerja sektor O&G dalam talian positif pada 2018

Usaha pengambilan atau penggajian pekerja sektor minyak dan gas (O&G) secara dalam talian kekal positif sepanjang 2018 dan turut meningkat lapan peratus pada Disember lepas, demikian menurut Indeks Pekerjaan Monster (MEI).

Dalam satu kenyataan hari ini, Monster.com berkata aliran positif tersebut juga menandakan pertumbuhan 21 bulan berturut-turut bagi tahun ke tahun sejak April 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Monster.com bagi Asia Pasifik dan Timur Tengah, Abhijeet Mukherjee berkata walaupun sektor itu mengalami ketidaktentuan, namun selepas berakhirnya 2018, kalangan penganalisis kekal optimis terhadap kestabilan harga minyak mentah pada 2019 dan mengunjurkan peningkatan aktiviti huluan dan hiliran.

“Sejajar perubahan  pasaran tenaga global, aspek inovasi dan teknologi akan terus berperanan penting ketika syarikat berusaha memenuhi keperluan tenaga secara mampan. Malah, bukanlah sesuatu yang menghairankan bila kita melihat peranan-peranan baharu diwujudkan dalam industri O&G.

“Tumpuan terhadap automasi dan teknologi pintar itu juga bermakna syarikat-syarikat ini perlu sentiasa berwaspada dan kompetitif, mewujudkan permintaan bagi modal insan yang berkemahiran teknikal dan kreatif dan menimba pengetahuan teknologi terkini,” katanya .

Mukherjee berkata, syarikat-syarikat juga perlu meningkatkan usaha meninjau cara baharu untuk menarik serta mengekalkan tenaga kerja milenial, melakukan penjenamaan semula dan melaksanakan lebih banyak budaya kolaboratif dan digital.

MEI merupakan pengukur aktiviti pengumuman peluang kerja dalam talian yang dikumpul secara bulanan oleh pihak Monster.com.

Ia antara lainnya merekodkan industri dan pekerjaan yang menunjukkan pertumbuhan tertinggi dan sebaliknya dalam proses penggajian pekerja di peringkat tempatan.

Sektor teknologi maklumat (IT), Penyedia Perkhidmatan Telekom/Internet (ISP) dan Proses Penyumberan Luar Perniagaan/Perkhidmatan Teknologi Maklumat (BPO/ITES), turut merekodkan pertumbuhan dua angka sebanyak 18 peratus pada Disember.

Bagaimanapun secara menyeluruh, MEI berkata Malaysia mencatat penyusutan aktiviti pengambilan pekerja secara dalam talian bagi tahun ke tahun sebanyak 3.0 peratus pada Disember.

“Penggajian pekerja industri perbankan, perkhidmatan kewangan dan insurans secara dalam talian turut menyaksikan aliran penurunan sepanjang 2018 sebanyak 12 peratus bagi tahun tahun pada Disember.

“Selain itu, permintaan bagi pekerjaan atau jawatan dalam sektor kewangan dan pekerjaan akauntan, turut susut sebanyak 13 peratus bagi tahun ke tahun,” katanya.

— BERNAMA