Pengganas terlibat dalam pembunuhan duta as di Libya letup diri sendiri selepas dikepung tentera

Pengganas terlibat dalam pembunuhan duta as di Libya letup diri sendiri selepas dikepung tentera

Tentera Libya yang berpangkalan di timur pada Rabu mengumumkan bahawa seorang pengganas yang terlibat dalam serangan ke atas konsulat Amerika Syarikat (AS) di Benghazi pada 2012 telah bertindak meletupkan dirinya sendiri selepas dikepung oleh tentera, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Serangan pada 2012 itu telah mengorbankan duta AS dan tiga pegawai konsulat yang lain.

“Pihak tentera berjaya mengesan pengganas yang dikehendaki dalam rumah tempat mereka bersembunyi. Pengganas itu, bernama Adel Al-Abdali, telah dihapuskan selepas pasukan khas menyerbu rumah di mana dia bersembunyi iaitu di Sabha (di selatan Libya). Ketika dia dikepung, dia tidak dapat meloloskan diri jadi dia telah bertindak meletupkan dirinya sendiri,” kata jurucakap tentera Ahmad al-Mismari dalam sidang akhbar di Benghazi pada Rabu.

“Dia (Al-Abdali) memiliki banyak rekod jenayah. Dia telah mengambil bahagian dalam pembunuhan Duta AS di Benghazi,” kata al-Mismari.

Jurucakap itu juga berkata tentera telah menangkap Al-Amin Ali Milud Kalfa, seorang pengganas kanan al-Qaeda yang mengambil bahagian dalam pembunuhan seorang pegawai kanan pada 2008, serta serangan pengganas lain di negara tersebut.

Dua minggu lepas, pihak tentera telah melancarkan satu kempen ketenteraan terhadap keganasan dan jenayah di selatan Libya.

— BERNAMA