Pengganas “white supremacist” New Zealand bakal berdepan 50 pertuduhan membunuh

Pengganas “white supremacist” New Zealand bakal berdepan 50 pertuduhan membunuh
Keluarga mangsa kejadian tembakan di Chrichurch pada 15 Mac lepas.

Seorang lelaki yang didakwa melancarkan serangan pengganas ke atas dua buah masjid di New Zealand bakal berdepan 50 pertuduhan membunuh dan 39 pertuduhan cubaan membunuh, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan polis tempatan pada awal Khamis.

Dia akan dibawa ke Mahkamah Tinggi di Christchurch pada Jumaat, kata anggota polis itu menerusi akaun Twitter.

“Pertuduhan lain masih dipertimbang. Memandangkan kes itu kini ke mahkamah, polis tidak dapat mengulas lanjut,” katanya.

Sekurang-kurangnya 50 penganut agama Islam dibunuh manakala ramai lagi cedera dalam serangan pengganas oleh seorang rakyat kelahiran Australia, yang mengagungkan doktrin “white supremacist” atau keunggulan bangsa kulit putih, ke atas dua buah masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac.- BERNAMA