Penggerak awal reformasi sokong kerjasama Pakatan Harapan, Mahathir

Penggerak awal reformasi sokong kerjasama Pakatan Harapan, Mahathir

Kumpulan penggerak awal reformasi yang menentang pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 1998 bersedia menyokong pendirian pimpinan Pakatan Harapan untuk bekerjasama dengan bekas perdana menteri itu bagi menuntut Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan dan melakukan perubahan politik di negara ini.

Kumpulan Otai Reformasi ’98, Pro Pakatan Reformis ’98 dan Reformis ’98 bersepakat menyatakan sokongan bersyarat mereka dalam satu pertemuan hari ini.

Pengerusi Otai Reformasi 98 Saari Sungib dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat menjelang majlis menandatangani deklarasi yang akan dibuat Dr Mahathir bersama 40 pemimpin ternama petang ini.

Saari berkata, syarat paling utama adalah Dr Mahathir perlu menyokong pembebasan Anwar yang pernah dipenjarakannya satu ketika dulu.

“Dr Mahathir perlu menyokong segala langkah memulihkan sistem kehakiman dan menolak semua akta zalim yang masih diguna pakai,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang itu.

Bekas perdana menteri itu juga, kata Saari mestilah berusaha mengembalikan hak rakyat.

Petang ini di Kuala Lumpur, Dr Mahathir akan bergabung dengan penyokongnya yang masih berada dalam Umno bersama pemimpin parti pembangkang menandatangani deklarasi menuntut Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Antara pemimpin Umno yang dijangka menandatangani deklarasi ini ialah bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

TAGS