Malaysia Dateline

Penggerak ‘Sarawak for Sarawakians’ tidak hormat lagu Negaraku

Satu rakaman video sekumpulan penggerak ideologi pemisah Sarawak dari Malaysia atau ‘Sarawak for Sarawakians’ (S4S) enggan berdiri ketika lagu kebangsaan dinyanyikan tular di media sosial.

Individu atas nama Shaow Tung Leong dari Kuching, Sarawak memuatnaik rakaman video berdurasi 22 saat di Facebook dengan memberitahu bukan urusannya untuk berdiri dan menyanyikan lagu Negaraku.

“Saya tidak akan berdiri dan menyanyikan lagu kebangsaan Malaya kerana bukan urusan saya,” tegas bekas editor International Times dan Sinchew Daily News itu.

Kenyataan seterusnya dalam bahasa Cina yang diakhiri dengan tanda pagar #Inilah Semangat S4S!, #Semangat Sarawakians!, #KamekAnakSarawak!, #Dum Spiro Spero, #While I Breathe, I Hope dan #Agi Idup Agi Ngelaban.

Shaow Tung Leong

Terjemahan bebas mendapati Tung Leong memberitahu hanya penggiat S4S yang tidak berdiri ketika lagu Negaraku sedang berkumandang dan aksi mereka, ujarnya, menjadi tumpuan hadirin majlis makan malam itu.

Sebaliknya, kata Tung Leong lagi, mereka terus berdiri dengan segera apabila Fair Land Sarawak dinyanyikan iaitu lagu kebangsaan Tanah Jajahan Mahkota Sarawak yang kemudian menjadi lagu negeri Sarawak yang pertama apabila menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963.

Menjelaskan sebab mengapa perlu berdiri ketika lagu Negaraku ke udara, Tung Leong menyebut Malaya merompak Sarawak bahkan menggelarkan lagu kebangsaan sebagai ‘lagu lanun Malaya’.

“Apa gunanya apabila Malaya merompak Sarawak selama beberapa dekad, Tun M sudah berkata, dia tidak akan membayar 20 peratus royalti minyak kepada Sarawak.

“Sekarang semua orang benci perayaan 831, benci 916, buat apalah mereka berdiri dan menyanyi lagu lanun Malaya?

“Jika anda bimbang ditangkap, lebih baik jangan menjerit nak Merdeka atau apa-apa hak autonomi… ,” katanya lagi yang mendakwa menuntut di Columbia University, New York dan Universiti Peking itu.

Dilihat membuktikannya tidak bimbang ditangkap, Tung Leong juga hari ini meneruskan provokasi dan hasutan dengan memuat naik poster mengaitkan orang di Semenanjung sebagai perompak.

“Orang Malaya are Robbers!” tulisnya dalam hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, rata-rata warga maya mendesak polis mengambil tindakan segera terhadap hasutan agar Sarawak keluar Malaysia yang disifatkan sebagai khianat kepada negara.

Malah, ada yang secara sinis mencabar pihak yang mahu Sarawak keluar dari Malaysia agar menghasilkan kad pengenalan Sarawak dengan menggunting terlebih dahulu kad pengenalan Malaysia.

Setakat jam 5 petang ini, rakaman video biadab yang dimuat naik sejak jam 9.32 pagi semalam mendapat lebih 1,700 perkongsian dan 3,000 komentar berbaur kecaman serta #pdrm.

Sekumpulan individu di Sarawak berbangga tidak berdiri menyanyikan lagu Negaraku.