Malaysia Dateline

Penggubal dasar perlu ubah budaya dan cara berkhidmat, kata Shafie Apdal

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu wakil rakyat selaku penggubal dasar, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan, agar melakukan reformasi budaya dan cara berkhidmat bagi menjadikan Malaysia dan Sabah khususnya, pergi lebh jauh.

Katanya tidak ada makna jika hanya mereformasikan undang-undang jika cara berfikir, budaya dan penyampaian perkhidmatan masih di takuk lama serta lebih berkecenderungan mengumpul kekayaan peribadi.

“Pada hari ini, Yang Berhormat-Yang Berhormat mempunyai rumah besar, mempunyai kereta banyak… saya fikir (mulai dari sekarang) jangan banyakkan rumah, jangan banyakkan kereta (tetapi) banyakkan perkhidmatan,” katanya.

Mohd Shafie berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam program Dialog Undang-Undang Anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah di sini malam tadi. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Menurut Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan Sabah, sikap mementingkan kekayaan peribadi turut menyumbang kepada ketirisan hasil negeri dan perkara itu boleh dilihat menerusi belanjawan negeri dalam tempoh empat dekad yang menyaksikan tiada perubahan di sebalik peredaran masa.

Katanya sebagai seorang yang mempunyai latar belakang ekonomi, beliau tahu Sabah sepatutnya boleh mengemukakan belanjawan sehingga RM15 bilion setahun sejak Sabah merdeka pada 1963 namun perkara itu tidak dapat dilakukan kerana ada unsur ketirisan dan pembaziran.

Menurutnya beliau masih ingat pada sekitar 1978/79, Sabah membentangkan belanjawan sebanyak RM3 bilion dan sekarang, Sabah membentangkan belanjawan sekitar RM4.16 bilion, iaitu peningkatan sekitar RM1 bilion dalam tempoh 40 tahun.

“Hasil negeri Sabah sepatutnya, kalau anggaran saya sebagai ahli ekonomi, kita boleh capai sehingga RM15 bilion…tetapi disebabkan banyak ketirisan, banyak pembaziran (ia tidak tercapai). Sebab itu, adalah penting untuk memastikan urustadbir kewangan yang ada (sentiasa berkesan),” katanya.

Beliau turut membuat perbandingan dengan Sarawak yang mampu memperuntukkan RM11 bilion untuk tahun depan kerana kemampuan mengurus kewangan dengan baik.

Mengenai penganjuran dialog undang-undang berkenaan, Mohd Shafie berkata  wakil rakyat perlu selalu turun padang mengambil tahu isu serta keperluan rakyat agar sebarang cadangan pindaan terhadap undang-undang benar-benar mencerminkan harapan rakyat.

— BERNAMA