Malaysia Dateline

Penggubalan kerangka perundangan berkaitan diskriminasi gender masih berjalan

Kerajaan masih dalam proses menggubal kerangka perundangan untuk menangani diskriminasi berasaskan gender, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagi tujuan itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata sebanyak 16 sesi libat urus sudah diadakan membabitkan pelbagai pemegang taruh antaranya Kementerian Luar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik berpengalaman yang mempunyai kepakaran berkaitan.

“Libat urus akan diteruskan lagi dengan melibatkan lebih ramai pihak yang berkepentingan. Diskriminasi tidak mengira gender, kita tak nak lah kata ada persaingan antara lelaki dan perempuan,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Keselamatan Internet 2020 – Edisi Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Eddin Syazlee Shith dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Suriani Ahmad.– BERNAMA