Sempena berlansungnya Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Sabtu ini, sebanyak 14 laluan di ibu negara akan ditutup secara berperingkat.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, seramai 387 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan untuk melaksanakan penugasan ditetapkan pada hari berkenaan.
Penutupan jalan secara sementara ini dibuat untuk memberi laluan kepada tetamu-tetamu Diraja supaya istiadat berkenaan dapat berlangsung dengan jayanya, lapor Berita Harian.
“Semua 387 pegawai dan anggota polis akan melaksanakan penugasan mengiring orang kenamaan, mengawal lalu-lintas dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang jalan raya agar acara yang penuh dengan Istiadat Negara dapat berlangsung dengan jayanya.
“Penutupan jalan secara sementara ini adalah untuk memberi laluan kepada tetamu-tetamu Diraja melalui laluan mengikut masa yang ditetapkan sebelum dibuka semula selepas orang kenamaan melalui laluan yang ditetapkan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
14 laluan yang akan ditutup sementara adalah:
- Jalan Tun Razak
- Jalan Kia Peng
- Jalan Raja Chulan
- Jalan Ampang
- Jalan Sultan Ismail
- Lebuhraya Sultan Iskandar
- Jalan Tuanku Abdul Halim
- Jalan Semantan
- Jalan Damansara
- Jalan Istana
- Kuala Lumpur-Seremban Expressway
- Jalan Kuching (arah selatan)
- Bulatan Dato Onn
- Jalan Parlimen
Jelas Datuk Rusdi, penutupan jalan secara sementara ini akan bermula pada pukul 8 pagi untuk Istiadat Pertabalan dan pada jam 8 malam bagi Majlis Santapan Diraja.
Pengguna jalan raya kemudian dinasihatkan untuk tidak menggunakan laluan yang terlibat dengan arahan penutupan penuh bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas.
“Ikut arahan-arahan anggota Polis Trafik yang bertugas di lokasi. Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis KL ditalian 03-21159999.” Ulasnya.
Baca juga: Jual fries 1 ‘box’ RM20, pemuda terkilan rasa tepung sahaja, menyesal beli dua