Penggunaan Akta Hasutan tidak melambangkan reformasi PH, kata Pengerusi Padu

Penggunaan Akta Hasutan tidak melambangkan reformasi PH, kata Pengerusi Padu

Pertubuhan Muafakat Perpaduan Kuala Lumpur (Padu), menyifatkan penggunaan Akta Hasutan secara berterusan disertai hukuman berat, tidak melambangkan reformasi yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Ishak Surin berkata, Akta Hasutan 1948 dicipta penjajah bertujuan melumpuhkan kebangkitan rakyat menentang mereka.

Katanya, para pejuang kemerdekaan tanah air ketika itu akan dituduh sebagai pengkhianat dan mereka akan ditangkap serta dihukum dengan menggunakan Akta Hasutan 1948 itu.

“Jelas sekali bahawa pengekalan penggunaan Akta Hasutan 1948 warisan penjajah yang telah dikuatkuasakan lebih tujuh dekad lalu, telah menyebabkan ribuan pejuang-pejuang kemerdekaan menjadi mangsa.

“Kami menggesa pihak kerajaan memansuhkan akta tersebut berikutan komitmen PH dalam janji ke-21 manifesto mereka untuk memansuhkan semua akta zalim, demi kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Akta berkenaan bukan sahaja amat tidak wajar diteruskan, bahkan sangat bertentangan dengan semangat Malaysia Baharu yang sedang rancak dibina.

“Lebih cepat akta tersebut tersebut dimansuhkan, maka lebih mudah untuk meraih dan memperkukuh sokongan rakyat terhadap PH,” katanya dalam satu memorandum hari ini.

Memorandum itu diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin di lobi Parlimen selepas mengadakan protes secara aman di hadapan Bangunan Parlimen kira-kira jam 11 pagi tadi.

Memorandum disampaikan oleh Ishak Surin (dua dari kiri) kepada Mohamed Hanipa Maidin (kiri) di lobi Parlimen hari inil.